Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seseorang mualaf dicadangkan memaklumkan pertukaran agama kepada keluarganya selepas menganut Islam, dan bukan sebelum pertukaran.

Mengulas keputusan Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak/Sivil ke-18 kelmarin, Ahmad Zahid berkata saranan perdana menteri awal bulan ini tidak ditolak persidang itu.

"Tapi pengumuman (penukaran agama) memerlukan satu formula untuk tentukan bentuk pelaksanaan yang sesuai," katanya semalam, lapor Bernama .

Persidangan itu sebulat suara berpendapat tidak perlu bagi seseorang yang ingin memeluk Islam memaklumkan hasratnya kepada keluarga terlebih dahulu.

Pertemuan itu disertai penasihat undang-undang kerajaan negeri, mufti, ketua hakim syarie serta pengarah jabatan dan majlis agama Islam negeri.