MTUC tuntut gaji minimum RM1200
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan pemberian gaji minimum sebanyak RM1200 untuk menolong pekerja-pekerja memenuhi keperluan asas harian seperti kenaikan harga makanan dan minyak.
Presidennya Syed Shahir Syed Mohamud berkata, ribuan pekerja bertungkus-lumus membanting tulang demi pendapatan kurang RM700.
"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana mereka boleh hidup selesa dengan gaji sekecil itu dan, khususnya mereka yang tinggal di kawasan perindustrian.
"Isu ini nombor satu yang harus dihadapi pekerja sekarang," kata Syed Shahir kepada agensi berita AFP di majlis sambutan Hari Pekerja di Shah Alam semalam.
Beliau berkata, sudah lapuk untuk menghujahkan tuntutan gaji tinggi akan meningkatkan kos operasi dan menjejaskan daya saing Malaysia.
"Pekerja (negara) kita harus dilatih dan diajar meningkatkan kemahiran dan menggunakan mesin.
"Langkah ini mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing," katanya.
Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam mesenya sempena sambutan 1 Mei, menggesa pekerja lebih inovatif dan kreatif untuk memastikan negara terus daya saing.

