Kementerian dalam negeri akan menyemak semula garis panduan penapisan filem supaya sesuai dengan kehendak dan perkembangan semasa, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

syed hamid albar 02 “Garis panduan yang ada sangat umum. Sekarang kita berada di era globalisasi. Kita mungkin tak akan ambil sikap double standard terhadap filem tempatan dan antarabangsa, katanya dalam sebuah sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Tidak seperti dahulu, tegasnya, perkembangan filem sekarang memerlukan garis panduan baru bagi mengimbangi pandangan masyarakat yang liberal dan tradisional.

“Ahli-ahli lembaga sekarang ini dianggotai golongan ‘orang lama’. Kita ingin mendengar pandangan yang lebih liberal. Persoalannya sekarang adalah bagaimana hendak mengimbangi antara pandangan golongan liberal dan tradisional.

“Pandangan orang tak sama. Ada yang mahu penapisan ini dilonggarkan, ada pula yang mahu diketatkan. Jadi tugas kita adalah untuk mengimbangkan antara dua pandangan ini,” tambahnya.

Menurutnya, ada pengkarya sekarang sanggup melakukan sesuatu (aksi dan dialog) yang suatu masa dulu dianggap tabu dalam masyarat.

Tiada kuasa

“Ini perkembangan yang berlaku dan ada yang tak dapat terima. Kita akan kawal seboleh yang mungkin. (Ini) tugas kita, sebab itu disebut pantau dan kawal.”

Pada masa ini, tambahnya, filem-filem yang tidak diluluskan tayangannya di negara ini, masih diedarkan melalui YouTube, dipindahkan ke telefon bimbit atau ditayangkan di luar negara.

Syed Hamid berkata, buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekatnya.

Sebelum itu, ketika berucap dalam majlis perjumpaan dan dialog anggota lembaga penapis filem jawatankuasa rayuan filem, beliau menegaskan bahawa kedua-dua badan itu masih penting dan tetap relevan.

“Unsur-unsur yang bercanggah dan bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia, jika tidak dibendung, boleh menjejaskan akhlak, ketenteraman awam dan keselamatan negara. Maka, peranan lembaga penapis dan jawatankuasa rayuan adalah penting dan tetap relevan,” tambahnya.

Beliau berharap kedua badan ini terus berperanan membantu kerajaan membendung gejala-gejala negatif yang mungkin terdapat dalam filem.

Permit Oriental Daily

Tahun lalu lembaga penapisan tidak meluluskan 17 filem dalam kategori cereka, dokumentari dan iklan. Empat daripadanya adalah dari Malaysia. Ini termasuk filem kontroversi Apa Khabar Orang Kampung arahan pengarah terkenal Amir Muhammad.

Ditanya tentang komen veteren Umno, Tengku Razaleigh Hamzah semalam bahawa kerajaan harus mengkaji semula undang-undang berkaitan penerbitan dan percetakan untuk memberi lebih kebebasan kepada media, Syed Hamid berkata: “Bagus. Semua orang bercakap tentang kebebasan media. Ia adalah perkembangan yang bagus.”

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut bila ditanya mengenai sebab-sebab penerbitan akhbar Cina Oriental Daily belum disambung permit penerbitannya.

Beliau hanya berkata: “Tak tahu, saya belum tengok lagi.”

Permit penerbitan akhbar itu berbahasa Cina itu tamat Disember lalu, tetapi ia beroperasi seperti biasa walaupun belum menerima kelulusan pembaharuan permitnya.