BERITA

Mano angkat sumpah Adun pagi ini

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Mei 2008, 4:13 pagi

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan, yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), telah mengangkat sebagai Adun pagi ini.

m manoharan Upacara mengangkat sumpah itu diadakan di Kem Tahanan Kamunting pada jam 9 pagi, dihadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Manoharan, yang mewakili DAP, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.

Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Manohan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember lalu bawah ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Kesemua Adun di Selangor, kecuali Manoharan, mengangkat sumpah pada 22 April lalu.

Sebelum ini, dua calon DAP yang ditahan di bawah ISA - Chan Kok Kit yang menang kerusi parlimen Sungai Besi dan Chian Heng Kai (Batu Gajah) dalam pilihanraya 1978 - mengangkat sumpah dalam kem tahanan.

Sementara itu, Teng berkata, upacara angkat sumpah tersebut berlangsung di bilik mesyuarat di kem tersebut.

Selain wakil dari kerajaan negeri, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara, turut hadir ialah bapa dan isteri Mano serta tiga orang anaknya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Teng berkata, Mano kelihatan sihat dan segar.

Menurutnya, Mano terharu dengan majlis diadakan hari ini, dan berharap beliau akan dibebaskan lebih awal.

Teng berkata, ini kerana mendapat undi yang banyak dalam pilihanraya umum lalu dan ini menunjukkan pengundi dan masyarakat tidak melihatnya sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Majis itu diikuti dengan jamuan ringan yang disediakan oleh pihak kem.

Sementara di luar kem tersebut kira-kira 50 orang berkumpul sambil membawa kain rentang.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.