Polis kawal menara berkembar Petronas
Kira-kira 60 anggota polis, termasuk 30 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal di sekitar menara berkembar Petronas di KLCC tengahari tadi ekoran tersebarnya khabar angin bahawa satu perhimpunan anti-ISA akan diadakan jam 2 petang tadi.
Bagaimanapun, perhimpunan tersebut tidak berlaku.
Seawal jam 1:30 tengah hari, pihak polis kelihatan bersiap sedia di sekitar bangunan mercu tanda negara itu.
Di antara menara itu dan Masjid As-Syakirin, kelihatan kira-kira 30 anggota polis berpakaian seragam menunggu dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Manakala kira-kira 30 anggota FRU kelihatan bersiap sedia di jalan Yap Kwan Seng yang berdekatan.
Selain tiga trak FRU, sebuah trak meriam air, turut ditempatkan di situ.
Ketika dihubungi wartawan kira-kira jam 3:15 petang, Presiden Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Jamal Ibrahim Syed Noh menafikan pihak merancang menganjurkan perhimpunan itu.
Polis bersurai lebih kurang jam 3:30 petang. Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Orang ramai juga tidak kelihatan berkumpul untuk tujuan itu.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.