Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu enggan mengesah atau menafikan sama ada parti itu telah dipelawa untuk menyertai gabungan Pakatan Rakyat.

"Saya tak mahu bercakap apa-apa mengenainya," kata Samy Vellu bila ditanya sama ada pihak Pakatan ada menemui MIC.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat MIC di Kuala Lumpur hari ini, Samy juga tidak menjawab bila ditanya sama ada pemimpin Pakatan telah menemuinya.

Bagaimanapun, Samy menegaskan ketaatan MIC kepada Barisan Nasional (BN) tidak harus diragukan.

"MIC akan terus bersama BN. Tiada sebarang keraguan mengenainya. Senang susah kita telah bersama. Kami akan tetap bersama (BN)... tiada niat untuk ke mana-mana.

samy vellu mic baru  pc 150508 "Kita akan terus menyumbang kepada matlamat BN dan berkhidmat untuk masyarakat melalui BN," tegasnya.

Sumber-sumber mendakwa, seorang pemimpin tinggi MIC sedang dipujuk untuk membawa MIC keluar dari BN dan menyertai Pakatan,.

Penjenamaan parti

Sementara itu, Samy enggan menjawab bila ditanya sama ada proses penjenamaan semula parti itu, akan turut membabitkan perubahan pucuk pimpinan.

"Kita bukan bercakap mengenai (menjenamakan semula) kepimpinan... saya tidak mahu menjawab soalan itu. Saya bercakap tentang apa yang perlu dilakukan untuk masa depan parti," katanya.

Menurut Samy, usaha penjenamaan semula itu dibuat berasaskan analisis pilihanraya umum ke-12 dan reaksi pengundi terhadap ahli-ahli politik.

Katanya, langkah penjenamaan semula itu termasuk menambahbaik etika kerja, merancang strategi dan pendekatan baru untuk mendekati masyarakat India serta mencipta logo, lagu dan uniform baru parti.

Parti itu bagaimanapun akan mengekalkan nilai dan pegangan utamanya. Cadangan supaya dilakukan perubahan dalam parti akan dibentangkan dalam mesyuarat perwakilan parti itu Julai ini.

Samy berkata, sejumlah 140 perjumpaan akan diadakan di seluruh negara untuk menerangkan kepada ahli mengenai langkah penjenamaan semula parti itu dalam tempoh sembilan bulan yang akan datang.

Nijhar bergegas keluar

ks nijhar Dalam satu lagi perkembangan, naib presiden MIC Tan Sri KS Nijhar meninggalkan bilik mesyuarat dalam keadaan tergesa-gesa dan enggan bercakap dengan pemberita.

Beliau kedengaran menjerit: "Mana boleh anda pecat orang itu? Mengapa anda begitu kejam?"

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa CWC sedang menimbang untuk memecat ketua bahagianKlang, Alex Thiagarasan semalam kerana membuat komen pedas terhadap Saamy yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times.

Alex telah menggelar Samy sebagai seorang "diktator, hakim, juri dan pelaksana hukuman" dan menyalahkan presiden MIC itu di atas masalah yang wujud dalam parti itu,

Sumber-sumber itu berkata, beberapa anggota CWC mencadangkan agar Alex dipecat tetapi yang lainnya, termasuk Nijhar membantah.

Dalam sidang akhbar tersebut, Samy enggan mengulas perkara tersebut dan sebaliknya meminta wartawan bertanya sendiri kepada Nijhar mengenai perkara tersebut. Berita asal