Seorang wakil rakyat PKR menafikan ingin mewujudkan dua pasukan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), satu ditadbir kerajaan Selangor dan satu lagi dibiayai kerajaan persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari berkata laporan akhbar Sinar Harian hari ini yang memetik kenyataan beliau Isnin lepas itu salah dan mengelirukan

"Bagi kami laporan tersebut tidak tepat dan salah lapor terhadap apa yang cuba dihuraikan oleh Amirudin," kata jurucakapnya Shaharudin Abu Bakar.

Dalam satu taklimat awal minggu ini, Malaysiakini difahamkan Amirudin cuba menjelaskan senario pentadbiran di Selangor - seperti pernah terjadi di Kedah, Kelantan dan Perak - yang mempunyai dua sistem JKKK apabila kerajaan persekutuan yang dikuasai BN enggan mengiktiraf JKKK yang ditadbir kerajaan negeri.

Shaharudin berkata, keadaan yang bakal terjadi itu berdasarkan kenyataan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang berhasrat menyerap ketua-ketua kampung dan JKKK yang tidak dilantik semula ke dalam Jawatankuasa Pengurusan Pembangunan (JPP) yang diurus tadbir oleh kementerian berkenaan di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

"Ucapan Adun Batu Caves pada malam tersebut sebenarnya cuba menjelaskan kemungkinan akan wujud dua JKKK, selepas kerajaan negeri (Selangor) memutuskan pelantikan baru ketua-ketua kampung pada akhir Jun nanti," katanya.

Shaharudin, yang juga pengarah jawatankuasa pengurusan dan pembangunan DUN tersebut, berkata pihaknya sama sekali tidak bersetuju dengan sistem dua JKKK yang diamalkan oleh BN apabila negeri-negeri dikuasai oleh parti bukan BN.

"Menjadi harapan kami ... untuk cuba sedaya-upaya mengelakkan perkara tersebut berlaku kerana akan mewujudkan kekeliruan dan kecelaruan pentadbiran kerajaan negeri mahu pun persekutuan," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wartawan itu gagal memahami taklimat Adun tersebut yang mengamalkan dasar pemisahan pentadbiran negeri di peringkat akar umbi dengan pengurusan jentera PKR di Batu Caves.

"Mungkin pelapor (akhbar itu) telah terkeliru terhadap pembentukan dua jawatankuasa - jawatankuasa pengurusan dan pembangunan DUN dan jawatankusa parti dan pilihanraya yang dibentuk oleh Adun Batu Caves, untuk memastikan urusan parti dan khidmat masyarakat tidak bercampur aduk dengan urusan parti politik," tambah Shaharudin dalam satu kenyataan hari ini.