Gerakan hari ini menafikan tuduhan bekas ketua wanitanya, Rhina Bhar bahawa parti itu tidak menghargai sumbangan ahlinya berketurunan India dan pucuk pimpinan parti itu sering mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman.

Rhina Bhar yang juga bekas senator, mengumumkan keluar dari Gerakan Isnin lalu atas alasan yang sama, selepas 30 tahun bersama parti tersebut.

Ketika menafikan dakwaan itu, Setiausaha agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata, untuk rekod, dua daripada tiga senator dari Gerakan terdiri daripada kaum India, iaitu naib presiden, Datuk Dr S Vijayaratnam dan ahli jawatankuasa pusat A Kohilan Pillay yang juga salah seorang pemimpin Pemuda Gerakan.

"Seorang daripada dua timbalan menteri dari Gerakakan sekarang ialah A Kohilan (kementerian perusahaan, perladangan dan komoditi). Seorang lagi ialah ketua Wanita, Datuk Tan Lian Hoe (kementerian penerangan)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chia berkata, Rhina sendiri telah pernah diberi peranan dan pengiktirafan dalam parti dan kerajaan.

"Beliau pernah menjadi calon parlimen, ahli majlis dan seorang senator. Beliau pernah dilantik sebagai ketua Wanita selepas menjadi timbalannya selama beberapa penggal, selain menganggotai jawatankuasa pusat parti.

"Beliau telah dianugerahkan gelaran Datuk sebagai menghargai sumbangan beliau itu," tambahnya.

Telah diperjelaskan

Chia berkata, apabila Rhina bercakap dengan pemangku presiden, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebulan lalu mengenai niatnya untuk keluar parti, Dr Koh cuba memujuknya.

Oleh itu, tegasnya, adalah tidak benar bahawa Dr Koh tidak mengambil berat perkara tersebut.

"Kami difahamkan bahawa beliau telah menyuarakan rasa tidak puashatinya kerana tidak dilantik semula sebagai senator dan tidak dicalonkan bertanding dalam pilihanraya umum yang baru lalu," kata Chia lagi.

Chia juga menjelaskan mengenai kenyataan oleh bekas presiden (Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik) dan pemangku presiden (Dr Koh) yang didakwa berunsur perkauman.

Sebenarnya, jelas beliau, kenyataan kedua-duanya telah dipetik di luar kontek dan telahpun diperjelaskan melalui media dan dalam parti, terutama kepada ahli dan pemimpin kita dari kaum India.

"Rhina memang menyedari perkara itu, tetapi nampaknya beliau memilih untuk menjadikannya sebagai alasan untuk keluar parti," tegas Chia.

Sehubungan itu, katanya, Gerakan menghargai sumbangan pemimpinnya yang pelbagai kaum dengan tumpuan utama ke arah mencapai representasi yang lebih seimbang terutama di kalangan golongan muda.