Salur maklumat pada petani guna internet
Malaysia akan menggunakan teknologi berasaskan maklumat (ICT) bagi menyelesaikan masalah dalam rangkaian bekalan pertanian, termasuk membekalkan maklumat pasaran tepat masa untuk peladang, nelayan dan pekebun kecil menerusi Internet.
Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia merupakan antara cara Malaysia menggunakan ICT untuk menyediakan penyelesaian terhadap masalah tertentu dalam bidang pertanian dan pengeluaran makanan.
Malaysia, tambah beliau, akan menggunakan teknologi kad pintarnya bagi mengurus dengan lebih baik serta memudahkan penyaluran subsidi kepada golongan petani.
"Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia sudah menggunakan penyelesaian-penyelesaian berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi menyelesaikan masalah tertentu yang dialami dalam rangkaian bekalan pertanian," katanya semasa merasmikan Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat (WCIT) ke-16, di Kuala Lumpur pagi tadi.
Malaysia, katanya, akan terus memperkenalkan langkah-langkah perlu termasuk melabur dalam infrastruktur dan perkhidmatan ICT bagi meningkatkan persaingannya dan meletakkan negara pada landasan pantas menuju era maklumat, katanya.
Sambil menyatakan bahawa capaian Internet yang pantas dan mudah bukan lagi satu kemewahan, Abdullah berkata Malaysia akan melancarkan inisiatif jalur lebarnya tidak lama lagi yang akan sampai kepada sehingga 50 peratus isi rumah menjelang 2010, meningkat daripada 15.5 peratus tahun lepas.
Beliau juga berkata Malaysia juga akan melancarkan kemudahan e-pembayaran komprehensif tidak lama lagi membabitkan lebih 100 agensi kerajaan.

