Rombongan badan perhubungan Umno Perlis mengadakan perjumpaan dengan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di lapangan terbang Subang pagi tadi.

Menurut ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh, perjumpaan tersebut diadakan sebelum Dr Mahathir berlepas ke Jepun.

Hadir sama ialah bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga ketua perhubungan Umno negeri tersebut.

Semalam, kata Hashim, mereka mengadakan pertemuan dengan perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selama kira-kira 45 minit.

Dalam perjumpaan tersebut, katanya, Shahidan, selaku jurucakap Umno Perlis, meminta Abdullah supaya jangan memandang remeh tindakan Dr Mahathir keluar parti.

Menurutnya, perbincangan dengan Abdullah itu juga menyentuh soal kedudukan kerajaan negeri Perlis yang disifatkannya sebagai belum serasi dengan semangat BN dan pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Kami menyatakan kebimbangan kepada perdana menteri mengenai tindakan Dr Mahathir keluar Umno kerana ia akan meninggalkan kesan buruk kepada parti.

Tindakan menteri besar

"Mungkin kesannya tidak nampak sekarang, atau ahli tidak keluar parti tetapi mereka mungkin tidak menyokong Umno dalam pilihanraya umum akan datang ," katanya.

Hashim berkata, Abdullah juga perlu menyakinkan kepada ahli bahawa Umno masih merupakan sebuah parti yang kuat dan membela orang Melayu.

Katanya, Abdullah dan pemimpin lain perlu melakukan gerakan untuk memperkuatkan parti dengan menyelesaikan isu-isu yang ada sekarang.

"Isu tingkat empat, campur tangan dalam pentadbiran, isu pergolakan sebelum pemilihan parti dan isu Datuk Mukhriz Mahathir perlu diselesaikan sebagai salah satu cara untuk memperkuatkan parti dan seterusnya mengembalikan kepercayaan ahli dan rakyat kepada Umno," katanya.

Hashim berkata, dalam pertemuan tersebut perdana menteri cuma mendengar tetapi memberikan perhatian yang serius mengenai cadangan Shahidan tersebut.

Katanya lagi, mengenai masalah Umno Perlis pula ialah tindakan menteri besar, Datuk Seri Mohd Isa Sabu yang didakwa banyak menimbulkan masalah kepada orang ramai.

Hashim mendakwa, orang datang minta bantuan, pejabat menteri besar menolak dan kontrak-kontrak yang diperolehi kontraktor kecil telah dibatalkan.

"Kita memberitahu perdana menteri, jika masalah sebegitu tidak diselesaikan ia boleh memberi kesan kepada Umno dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.