BERITA

MIC pula digesa dekati blog

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Mei 2008, 4:48 petang

Selepas semakin ramai tokoh politik BN menyertai arus berblog sejak pilihanraya umum Mac lalu, kini MIC pula menggesa barisan pemimpinnya, termasuk di peringkat cawangan, memantau blog.

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mencadangkan pemimpin mendekatkan diri dengan laman blog dan melayari Internet setiap hari bagi memantau suara-suara tidak puas hati dan memberi maklum balas sewajarnya terhadap luahan perasaan itu, lapor Bernama .

"Kalau perlu, mereka sendiri perlu menjadi penulis blog," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan MIC Perak ke-62 di Ipoh hari ini.

Tambahnya, penulisan yang baik di blog mampu meningkatkan kredibiliti parti itu, selain dapat juga membetulkan salah tanggapan terhadap MIC, terutama selepas pilihan raya umum lepas.

Samy Vellu mengakui bahawa kekalahan banyak calon MIC baru-baru ini berpunca daripada "kekurangan" penggunaan Internet dan kegagalan memberi respons terhadap tuduhan yang dibuat oleh beberapa penulis blog.

Ibu pejabat MIC bersedia menghantar pakar teknologi maklumat (IT) melatih pemimpin parti itu tentang penggunaan Internet dan blog, katanya.

Ibu pejabat parti akan melancarkan portalnya tidak lama lagi, yang turut di dilengkapi ruangan e-aduan dan e-forum, tambahnya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.