Istana hari ini menafikan laporan bahawa timbalan menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob mendapat serangan jantung selepas menghadap Sultan Kelantan, awal pagi Sabtu lalu.

Pengelola istana diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata Ahmad mengalami tanda-tanda mendapat serangan itu selepas menghadiri satu majlis di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa pada tarikh tersebut.

"Ingin saya jelaskan Datuk Ahmad bukan mendapat serangan itu selepas menghadap Al-Sultan seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan pada Ahad lalu," katanya dalam sidang akhbar di Istana Balai Besar di Kota Bharu.

Menurut laporan Bernama , akhbar tempatan melaporkan bahawa Ahmad dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada jam 1 pagi selepas menghadap Sultan Kelantan untuk memaklumkan menjalankan tugas-tugas menteri besar berikutan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercuti menunaikan umrah selama dua minggu bermula Sabtu lalu.

Berikutan itu, pengerusi jawatankuasa perancangan ekonomi, kewangan dan kebajikan negeri Datuk Husam Musa akan menjalankan tugas sebagai menteri besar Kelantan sehingga 9 Jun ini.

Abdul Halim menjelaskan Ahmad tidak pernah menghadap Sultan Kelantan bagi tujuan pemakluman itu kerana Nik Aziz sebelum itu telah menyembah surat untuk mendapat perkenan Sultan.

Husam pangku jawatan MB

"Al-Sultan telah ampuni perkenan dengan hasrat tersebut dan telah dijawab pada 13 Mei lalu kepada Datuk Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata semalam, pejabat Sultan Kelantan telah menerima surat daripada Nik Aziz bagi mendapat perkenan agar Husam menjalankan tugas menteri besar.

Abdul Halim berkata surat tersebut akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan hari ini untuk mendapat perkenan.

Beliau berkata Ahmad kini sedang berehat dan masih menjalani rawatan di HUSM.

"Raja Perempuan Kelantan juga amat prihatin dengan masalah kesihatan timbalan menteri besar dan telah berangkat melawat Datuk Ahmad Sabtu lalu," katanya.