Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM hantar memo kepada dua menteri
Diterbitkan:  May 27, 2008 2:34 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan menghantar memorandum kepada dua kementerian esok, menuntut supaya parti itu didaftar selepas sepuluh tahun menunggunya.

Memorandum pertama akan diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar di kementeriannya di Blok D2, Parcel D, di Putrajaya pada jam 10 pagi.

Manakala memorandum yang kedua akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zaid Ibrahim di kementeriannya, di JPM, Aras 3, Blok Timur, Bangunan Perdana Menteri, juga di Putrajaya pada jam 11.30 pagi.

s arutchelvan Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Penaja PSM, A Arutchelvan berkata, PSM sudah sepuluh tahun menanti pendaftaran parti itu.

"Penafian ini adalah satu pencabulan hak asasi dan hak demokrasi.

"Selaras dengan reformasi yang cuba dibawa oleh pentadbiran baru Perdana Menteri, kami mendesak (supaya) PSM didaftarkan," katanya.

Kini di Mahkamah Persekutuan

Pada 30 April 1998, PSM memohon untuk menubuhkan sebuah parti politik tetapi hanya dibenar untuk aktif di Selangor. Rayuan kepada Menteri Dalam Negeri ditolak.

Tidak puas hati dengan keputusan itu, pengerusi jawatankuasa penaja PSM, Dr Mohamed Nasir Hashim, memfailkan satu permohonan bagi kajian semula kehakiman untuk membatalkan keputusan menteri itu tetapi ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Januari 2003.

Selepas itu, ia dibawa ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya sebulat suara menolak rayuan itu dengan kos pada 16 Ogos 2006 dan mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Akta Pertubuhan 1966 membolehkan pendaftar mengenakan syarat-syarat yang dianggap wajar sebelum mendaftarkan sesebuah pertubuhan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya memutuskan bahawa dasar ROS yang memerlukan jawatankuasa sesebuah parti politik mengandungi wakil dari sekurang-kurangnya tujuh negeri dalam Persekutuan apabila pendaftaran untuk peringkat nasional bukanlah amalan yang tidak munasabah.

Pada 23 April 2007, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memberi kebenaran kepada PSM untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang tidak membenarkannya menubuhkan sebuah parti politik di peringkat kebangsaan.

Mahkamah membenarkan PSM untuk merayu dan membahaskan merit kes terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu. Mahkamah Persekutuan akan mendengarnya pada 16 Jun depan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS