Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keracunan: Tutup kem PLKN Setiu
Diterbitkan:  May 29, 2008 3:27 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Pemuda PAS Terengganu menggesa kerajaan menutup sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara di Setiu yang menghadapi masalah keracunan makanan dua kali dalam seminggu.

Timbalan ketuanya Ariffin Deraman berkata penutupan serta-merta sebuah resort milik Pertubuhan Peladang Kawasan Setiu, yang dijadikan kem latihan tersebut, "sejajar dengan kenyataan timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang ingin 'tiada kematian' berlaku kepada PLKN" lagi.

Pada 23 Mei lalu, sembilan pelatih wanita mengalami keracunan makanan selepas menikmati sarapan.

Susulan kejadian itu, jabatan kesihatan negeri telah mengambil tindakan menutup dapur di kem berkenaan buat sementara waktu untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara hari ini, 67 pelatih PLKN di pusat yang sama dilaporkan mengalami keracunan makanan dan dikejarkan ke Hospital Setiu pagi ini setelah mengalami sakit perut dan muntah.

Empat belas daripada mereka termasuk seorang pelatih lelaki, masih ditahan di wad hospital itu, manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan kembali ke kem, lapor Bernama .

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Nordiyanah Hassan ketika dihubungi berkata keadaan pelatih terlibat tidak membimbangkan.

Pelatih-pelatih yang masih dirawat di hospital itu dijangka dibenarkan keluar esok, tambahnya.

Berdasarkan laporan awal, tambah Dr Nordiyanah, pelatih-pelatih itu mengalami keracunan makanan selepas menikmati ayam masak merah tengah hari semalam yang disediakan oleh pembekal luar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS