BERITA

Ezam nafi mahu tanding ketua Pemuda

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Mei 2008, 8:43 pagi

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini menafikan beliau berminat bertanding jawatan utama, termasuk ketua Pemuda, apabila menyertai Umno kelmarin.

Beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bertanding jawatan tersebut atau mana-mana jawatan utama parti.

"Saya tidak mahu terbabit dan terlibat dalam perebuatan jawatan parti.

ezam and umno 280508 "Fokus saya sekarang adalah semata-mata untuk membantu kepimpinan dalam agenda perubahan dan pembaharuan di dalam parti dan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Mohamad Ezam sebagai berkata, beliau bersedia bertanding jawatan ketua Pemuda Umno jika kedudukan tersebut mampu membina dan mengangkat martabat Melayu menjadi bangsa yang dihormati.

Laporan agensi itu, yang turut disiarkan oleh akhbar-akhbar, memetik Mohamad Ezam sebagai berkata, beliau akan membincangkan soal itu dengan pemimpin Umno terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya kena bincang dulu dengan pimpinan, kena bincang dengan kawan-kawan dan kalau jawatan itu untuk kepentingan negara, ia boleh membantu kepentingan negara, kepentingan parti, membina dan mengangkat martabat Melayu menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati oleh bangsa-bangsa lain, saya akan pertimbangkan secara serius," katanya.

Ezam menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai semula Umno pada Rabu lalu kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.