Tiada kaitan Ezam dalam Gerak
Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan bekas pengarah dan pengasas pertubuhan itu Mohamad Ezam Mohd Nor yang menyertai Umno kelmarin.
"Gerak sekarang tiada sebarang hubungan langsung dengan Ezam. Gerak mengambil pendekatan untuk tidak partisan.
"Oleh kerana sekarang Ezam telah menjadi partisan dengan menyertai Umno, beliau sekarang ini bukan lagi ahli Gerak," kata pengarah barunya Mohd Nazree Mohd Yunus.
"Hari ini saya akan menerajui Gerak atas kepercayaan seluruh jawatankuasa tertinggi Gerak secara neutral, independen dan non-partisan," tambah bekas timbalan pengarah organisasi tersebut.
Bagaimanapun, menurutnya lagi, jika Ezam masih komited dengan perjuangan memerangi rasuah, pihaknya akan bersama-sama dengan pengasas pertubuhan itu.
"Bukan Ezam saja, mana-mana pihak pun yang ingin memerangi rasuah, kita akan bersama-sama mereka," tambah Mohd Nazree (foto) di sidang medianya di Kelana Jaya, Selangor.
Pertubuhan itu, tambahnya, telah mengenal pasti beberapa tokoh masyarakat sebagai penasihat Gerak.
"Golongan ini terdiri daripada budayawan, negarawan dan mereka yang terlibat dengan penubuhan Gerak daripada peringkat awal," kata Mohd Nazree.
Diminta mengesahkan sama ada Mohamad Ezam tidak termasuk dalam senarai ini, beliau berkata, "sah (tidak ada)."
Beliau juga menegaskan dana organisasi itu kini tidak lagi bergantung pada sumber-sumber yang pernah diterokai bekas pengarahnya.
"Sumber (kewangan) kami datang daripada penjualan buku, aktiviti yang dianjurkan Gerak dan derma daripada orang ramai.
"Tidak ada dana daripada sebarang organisasi lain, setakat ini. Cuma sekarang kami sedang memohon bantuan daripada sebuah organisasi yang beroperasi di Kanada. Tetapi itu kita akan maklumkan kemudian," katanya.
Timbalan pengarah baru Mohd Faridzul M Nasaruddin berkata pertukaran pemimpin tidak akan menjejaskan agenda perjuangan memerangi rasuah mereka.
Walaupun tiada penglibatan Ezam dalam Gerak lagi, organisasi ini tetap akan relevan, katanya.
"Kalau kita lihat dalam Umno dan PAS, walaupun berlaku pertukaran pemimpin, parti akan tetap berjalan macam biasa," tambahnya.
Ditanya kemungkinan pemimpin muda PKR menarik diri daripada pembabitan dengan Gerak selepas keputusan Mohamad Ezam tersebut, Mohd Nazree menafikan perkara itu wujud.
"Saya belum dengar lagi ada tindakan keluar daripada Gerak beramai-ramai," katanya.
Sejak Gerak ditubuhkan pada 2005, ketika Mohamad Ezam masih memimpin Angkatan Muda PKR, ramai ahli dan aktivis parti itu mendukung kegiatan badan bukan kerajaan tersebut.
Gerak akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kes, yang didakwa wujud penyelewengan, bayaran kepada bekas jurulatih gimnastik Yap Yee Yin.

