BERITA

Suhakam kutuk tindakan melampau polis

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Mei 2008, 7:46 pagi

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mengecam 'tindakan keterlaluan' polis terhadap penduduk sewaktu tercetus pergaduhan di Bandar Mahkota Cheras (BMC) pada malam Selasa lalu.

Suhakam menuntut polis memberi penjelasan kerana didakwa telah memukul seorang lelaki berusia 21 tahun sewaktu kejadian tersebut di mana kira-kira 200 penduduk BMC diarahkan bersurai oleh pihak polis.

cheras mahkota road grand saga barricade fru assault 280508 01 “Ketika menjalankan tugas, mereka perlu mesra hak asasi dan kekerasan yang digunakan tidak mewajarkan (tindakan mereka),' kata Pesuruhjaya Suhakam, Datuk S Subramaniam dalam satu sidang akhbar.

Subramaniam berkata, walaupun pihak polis mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap penduduk, tetapi ia harus dilakukan mengikut hak asasi manusia.

Chang Jiun Haur (kiri), yang berada dalam sebuah kereta bersama adik perempuannya dan dua orang lagi, didakwa telah diheret keluar dari kereta Proton Wira yang dipandunya dan ditendang dan dipukul bertubi-tubi oleh 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bersenjatakan cota dan perisai.

Dia telah dimasukkan ke hospital kerana kecederaan di muka dan bahagian lain di badannya.

FRU mesti tunjuk bukti

Menurut Siva lagi, adalah "tidak masuk akal" bagi sekumpulan anggota FRU yang terlatih untuk "merasa terancam" oleh empat remaja yang tidak bersenjata.

“Jika mereka (FRU) mempunyai bukti yang mereka dilanggar oleh kereta tersebut (seperti yang didakwa), maka mereka perlu memberi nama-nama anggota yang cedera," katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung memberitahu Parlimen semalam bahawa mengikut laporan yang diterimanya dari pihak polis, dua anggota polis cedera - seorang cedera di tangan dan seorang lagi cedera di paha - kerana terjatuh selepas dilanggar oleh kereta tersebut.

Subramaniam berkata, anggota-anggota tersebut mesti menyatakan di hospital mana mereka dirawat dan doktor yang merawat kecederaan mereka.

Sementara, seorang lagi pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Denison Jayasooria, yang hadir sama di sidang akhbar tersebut, menegaskan bahawa pihak polis perlu dipertanggungjawabkan kerana memukul Chang.

Kedua-dua pesuruhjaya tersebut melawat Chang di Hospital Teluk Kemang di Port Dickson, tempat kediamannya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.