Malaysiakini BERITA

Konsert: Sultan akan temui Pemuda PAS

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Sultan Selangor telah menyatakan persetujuan baginda untuk bertemu Dewan Pemuda PAS negeri itu bagi membincangkan bantahan dewan tersebut terhadap konsert Ella dan Mas Idayu Julai ini, kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Saya ada berbincang dengan Yang Teramat Mulia Sultan. Saya rasa Tuanku bersetuju bertemu Pemuda PAS bagi membincangkan isu berkaitan konsert itu.

“Saya tidak fikir kita mahu hentikan 'perlawanan diplomatik' melibatkan pasukan Selangor dan Singapura. Saya rasa idea yang baik untuk Pemuda PAS adalah mengadakan diskusi dengan Sultan.

“Kita akan uruskan (pertemuan tersebut) sebelum akhir bulan ini,” kata Khalid dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

Menjawab soalan pemberita, sama ada bantahan Pemuda PAS itu wajar atau tidak, memandangkan PAS mempunyai wakil dalam kerajaan, Khalid berkata, kerajaan negeri bersedia mendengar semua bantahan dan pandangan.

“Kita mendengar semua bantahan. Saya rasa kebimbangan Pemuda PAS berkaitan pakaian dan aksi penyanyi itu. Jadi bukan lagi isu. Saya tak rasa Pemuda PAS ingin hentikan satu bentuk persembahan.

Isu tertib

“Kita percaya, oleh kerana Pakatan Rakyat adalah satu kumpulan parti-parti yang memang biasa menerima suara rakyat, kita ada tanggungjawab bersama.

"Saya rasa apa yang perlu kita lakukan adalah menerangkan kepada mereka kebaikan daripada usaha-usaha sebegini, kerana salah satu cara untuk menarik belia menyertai program (negeri) adalah melalui acara-acara sebegini,” katanya.

Bantahan tersebut, kata Khalid, tidak menjadi isu kerana hanya melibatkan “tertib” acara sahaja.

“Yang dibantah oleh Pemuda PAS adalah tentang tertibnya acara tersebut. Saya rasa bukan menjadi isu," tambahnya.

Khalid turut mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung isu Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Menurutnya, setakat ini, surat terakhir yang diterimanya dari pihak Pendaftar Pertubuhan, menyatakan Balkis masih belum dibubarkan.

Isu Balkis

“Surat yang terakhir menyatakan mereka masih lagi belum membubarkan Balkis.

“Oleh sebab itu kita masih lagi mengumpul maklumat mengenai pemilikan tanah dan juga pengurusan bangunan untuk (kita) terangkan kepada Pendaftar Pertubuhan.

"Adalah penting Pendaftar Pertubuhan memberitahu mereka yang terlibat supaya pembubaran, jika dilakukan, tidak akan merugikan atau merosakkan harta yang telah diamanahkan untuk kegunaan rakyat di Selangor,” katanyanya.

Sementara itu, esok kerajaan negeri akan mengumumkan keputusan pemilihan ahli majlis tempatan.

“Pemilihan ahli majlis tempatan Selangor sudah kita persetujui. Satu kenyataan akhbar akan dibuat esok. Kita akan berikan senarai pecahan mereka dari segi profesion, dari segi persatuan dan juga daerah-daerah, kesemua majlis tempatan di Selangor yang telah kita persetujui,” katanya.