Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM kata Yong bertindak kerana ketamakan diri
Diterbitkan:  Jun 18, 2008 10:00 AM
Dikemaskini: 4:56 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tindakan terbaru Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee adalah disebabkan "saya tidak dapat memenuhi ketamakan dirinya."

Abdullah tidak mengulas lanjut. Bagaimanapun, pembantunya memberitahu Bernama bahawa Perdana Menteri akan membuat huraian kemudian.

Yong mengisytiharkan di Kota Kinabalu hari ini bahawa SAPP telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah.

Sejak kebelakangan ini, bekas ketua menteri Sabah itu sering mengkritik keputusan politik Abdullah mengenai Sabah termasuk langkah menaikkan harga bahan bakar.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau belum menerima sebarang notis daripada mana-mana parti berkaitan usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

"Saya belum terima apa-apa lagi. Tidak ada notis yang telah dikemukakan kepada pejabat saya setakat ini," kata beliau kepada Bernama.

Beliau berkata mana-mana parti boleh mengemukakan permohonan untuk membentangkan usul berdasarkan kepada dua peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat, pertama Peruntukan 27 (1) untuk satu usul bagi dibentangkan oleh mana-mana anggota mengenai sebarang perkara tertentu tetapi anggota mesti

memberi notis dalam masa 14 hari.

Peruntukan kedua ialah 18 (1), di mana Dewan membahaskan satu usul oleh sebarang anggota yang mempunyai kepentingan awam dan hendaklah dibuat segera kerana ia untuk disegerakan..

Tidak seperti 27 (1) di mana notis 14 hari diperlukan, 18 (1) hanya memerlukan notis 48 jam atau dua hari bekerja penuh.

Ini bermakna sesiapa yang bercadang untuk mengemukakan usul itu mestilah mengemukakan usul mereka kepada Speaker Dewan Rakyat paling lewat esok. Dengan itu, amat menarik untuk melihat jika SAPP atau mana-mana parti akan mengemukakan sebarang tuntutan kemudian.

Bagaimanapun, ketika ditanya jika beliau akan menerima tuntutan seperti itu, Pandikar berkata mana-mana anggota Parlimen boleh mencadangkan satu usul di Parlimen asalkan ia memenuhi peruntukan Peratuan Mesyuarat.

“Sama ada ia akan diterima atau tidak, Saya akan kaji dahulu sebelum membuat keputusan,” kata beliau sambil mengulangi, sehingga hari ini, tidak ada tuntutan seperti itu dibuat.

ADS