Riba PTPTN: Pandangan Mufti Perak disokong
Persatuan siswa Islam bersetuju dengan pandangan seorang mufti bahawa kadar empat peratus pinjaman tidak boleh dianggap riba jika ia digunakan sebagai kos perkhidmatan semata-mata.
Mufti Perak Datuk Harussani Zakaria berkata kadar itu yang diwajibkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bukan riba dengan syarat ia dibuktikan dengan sejelas-jelasnya sebagai kos perkhidmatan dan bukan untuk menambah modal atau untung, menurut satu kenyataan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).
"PMIUM menyokong penuh kenyataan mufti itu," kata Presidennya Muhammad Faisal Abdul Rahman kepada malaysiakini , sambil menambah beliau telah menghubungi mufti itu di pejabatnya pagi ini.
Badan pelajar itu juga bersetuju dengan pandangan Harussani bahawa "setiap pemberi hutang boleh mengenakan bayaran kos perkhidmatan" dan "setiap kos perkhidmatan bukanlah riba."
Kenyataan PMIUM itu dikeluarkan ekoran laporan Utusan Malaysia hari ini yang menyebutkan kadar itu "tidak mempunyai unsur riba."
"Jika pemberi hutang mengambil untung atas pinjaman yang dikeluarkan dan digunakan untuk menambahkan modal, maka itu adalah riba," laporan itu memetik kenyataan Harussani.
Bagaimanapun menurut PMIUM, Pengurus Korporat PTPTN Wan Ahmad Wan Yusuf pernah berkata semua kos perkhidmatan tabung itu ditanggung oleh kerajaan dan kadar empat peratus itu disimpan untuk jangka masa panjang.
Persatuan ini juga mendesak PTPTN membuat penjelasan kukuh sama ada kadar itu mempunyai unsur-unsur riba.
Menurut laporan akhbar itu lagi, kadar yang dibayar sekarang jauh lebih rendah berbanding kos sebenar perbendaharaan sebanyak lapan peratus.
Kos perkhidmatan empat peratus itu telah disubsidikan oleh kerajaan dan menurut pengiraan sebenar berdasarkan kaedah 'baki berkurangan setiap bulan,' kos itu hanyalah 2.06 peratus, jelas laporan itu lagi.
PTPTN memperuntukkan pinjaman sebanyak RM1.3 bilion kepada 130,000 pelajar yang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi tahun ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.