Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun BN Perak buat laporan polis
Diterbitkan:  Jun 26, 2008 7:03 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis hari ini kerana mendakwa diugut oleh seorang lelaki yang dipercayai pemandu kepada Exco kerajaan negeri Perak.

Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN- Kamunting) berkata beliau membuat laporan itu untuk keselamatan diri serta Adun yang lain.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku di ruang legar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sejurus selepas 28 Adun BN keluar dewan kerana memprotes keputusan Speaker V Sivakumar yang enggan memberi laluan kepada Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Kubu Gajah) untuk membahaskan usul terima kasih titah ucapan Sultan Perak.

BN merupakan pembangkang di DUN Perak.

Bercakap kepada pemberita di Balai Polis Ipoh, Mohammad Zahir berkata, kejadian itu berlaku semasa Adun Pengkalan Hulu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sedang ditemubual oleh sekumpulan wartawan berhubung tindakan wakil BN keluar dewan.

Menurut Bernama, Mohammad Zahir berkata beliau sedang berbual dengan beberapa rakan mengenai tindakan Speaker itu apabila tiba-tiba lelaki berkenaan meluru dan menjerit kepada beliau.

Ekoran itu berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak, katanya.

Katanya keadaan tegang itu bagaimanapun berjaya diredakan dengan campurtangan seorang pengawal keselamatan dewan.

Beliau membuat laporan polis sambil diiringi Adun Sungai Manik, Zainol FadziPaharudin dan Adun Hulu Kinta, Datuk Rosnah Kassim.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata kejadian itu sangat dikesali kerana persidangan dewan yang berlangsung dalam suasana penuh emosi adalah lumrah apabila para perwakilan berhujah.

"Sewajarnya para penyokong mana-mana pihak memahami situasi tersebut...anggota dewan semasa bersidang akan berhujah dengan emosi," katanya.

Beliau berkata peristiwa itu agak mencemaskan kerana berlaku di kawasan pintu masuk dewan makan khas untuk Adun, ketua-ketua jabatan, orang kenamaan dan Media.

ADS