Sidang kemuncak Liga Arab di Kaherah baru saja selesai. Pelbagai jenis raja, sheikh, emir, presiden dan perdana menteri dari 22 negara berkumpul untuk membincangkan taktik, strategi dan jawapan bangsa Arab terhadap keganasan yang sedang dilakukan Zionis Israel kepada rakyat Palestin.

Selama tiga minggu rejim Zionis itu dengan kekuataan bala tentera - M16, peluru getah, peluru hidup, kereta kebal, helikopter dengan roket berpandu - telah menyerang penduduk Palestin yang keluar menunjuk perasaan.

Anak-anak muda dari bandar-bandar di wilayah yang diduduki oleh Israel semenjak perang 1967 keluar ke jalan raya untuk memulakan gerakan Intifadah Kedua. Pertempuran yang berat sebelah ini menewaskan lebih 120 nyawa, kebanyakan rakyat Palestin.

Menjadi kesilapan jika kita menganggap bentrokan kali ini bermula akibat lawatan Ariel Sharon - pembantai Sabra dan Shatilla - ke Haram Al-Sherif (Temple Mounts) pada September lalu. Konflik antara Isreal dengan Palestin telah bermula semenjak terdirinya negara haram itu pada 1948.

Israel, seperti juga Singapura dan Afrika Selatan, tidak boleh ditakrifkan sebagai negara yang natural . Negara-negara ini adalah settlers state atau kawasan geografi yang didiami pendatang asing yang tidak mempunyai akar umbi di tanah itu.

Israel diwujudkan kerana Eropah berasa "bersalah" terhadap apa yang telah dilakukan oleh Hitler terhadap orang Yahudi ketika Perang Dunia Kedua. Hari ini, semuanya telah terbalik. Zionis Israel pula menjalankan dasar perkauman, kezaliman dan penindasan seperti dilakukan Nazi terhadap Yahudi ketika zaman pemerintahan Hitler.

Perang gerila

Sejak 1948, pengusiran dan perampasan tanah-tanah rakyat Palestin tidak pernah berhenti. Pelbagai undang-undang zalim dikenakan terhadap rakyat Palestin termasuk Akta Tangkapan Tanpa Bicara. Beribu-ribu rakyat Palestin menjadi pelarian ke merata pelusuk dunia hingga ke hari ini.

Perang Arab-Israel pada 1967 telah membuktikan bahawa rejim-rejim Arab di Mesir, Syria dan Jordan tidak mempunyai kekuataan untuk menumpaskan Israel yang kini didukung oleh Amerika Syarikat. Perang 1967 berjaya meluaskan tanah rampasan Israel, termasuk tertakluknya Baitul Maqdis.

Kekalahan perang 1967 disambut anak-anak muda Palestin di perantauan dengan mendirikan kumpulan-kumpulan gerila untuk menyerang balas. Dari sinilah muncul Al-Fatah, Barisan Popular (PFLP) dan beberapa lagi kumpulan gerila yang berpayung di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Tujuan asas gerakan ini ialah berpolitik dengan mengangkat senjata. Perang gerila bertujuan menumpaskan rejim Zionis Israel dan mendirikan negara Palestin yang demokratik sekular di mana rakyat Palestin dan Yahudi boleh hidup bersama.

Rejim Zionis yang licik dibantu pula pemodal-pemodal antarabangsa yang dikepalai Amerika Syarikat telah berjaya memecah-belahkan masyarakat Arab. Kebanyakan daripada 22 negara Arab yang datang bersidang di Kaherah baru ini adalah negara-negara pelanggan Amerika. Mesir, Arab Saudi, negara-negara Teluk, Jordan dan Maghribi, semuanya berpayung di bawah lambang Uncle Sam .

Kutukan di atas kertas

PLO, yang dipimpin Yasser Arafat meninggalkan garis perjuangan bersenjata dengan harapan "jika menjadi budak baik Amerika, maka beliau akan dapat mendirikan daulah Palestin". Untuk menjadikan mimpinya satu realiti politik, Yasser kini sanggup bekerjasama dengan agensi perisik Mossad dan CIA untuk menumpaskan gerakan Intifadah yang dianggap militan.

Pengisytiharan bersama 22 kepala negara Arab ini cukup menjijikkan. Pemimpin Arab hanya sanggup mengeluarkan kenyataan bersama untuk mengutuk keganasan Isreal di atas kertas. Mereka juga meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menjalankan siasatan terhadap keganasan Israel.

Mereka sedar "tuan Israel," Amerika Syarikat, akan membatalkan apa saja resolusi di PBB yang mengutuk Israel. Tuntutan daripada Libya dan Lebanon agar Mesir dan Jordan memutuskan hubungan diplomatik dengan Isreal telah diketepikan.

Untuk meredakan keadaan dan kemarahan rakyat Palestin, pemimpin negara Arab cuba merasuah mereka dengan dana berjumlah satu bilion dolar. Mengikut logik mereka, dengan bantuan kewangan ini anak-anak muda yang turun ke jalan-jalan raya akan pulang ke rumah masing-masing.

Sidang di Kaherah ini sekali lagi membuktikan bahawa rejim-rejim Arab tidak mempunyai kekuatan politik. Kebanyakan rejim ini tidak pernah dipilih rakyat mereka sendiri secara demokratik. Kewujudan mereka bukan berpaksikan sokongan rakyat, malah melalui sokongan dan bantuan Amerika Syarikat dan Israel.

Rejim-rejim Arab itu sendiri bersifat antidemokrasi; yang menjana kekuataan melalui jentera daulah seperti mukhabarat (polis rahsia) dan pelbagai undang-undang yang menindas. Mereka tidak mengetahui sentimen rakyat mereka sendiri. Justeru, sidang tergempar ini dipanggil sebagai usaha rejim-rejim ini untuk meredakan kegelisahan rakyat di negara masing-masing.

Di Kaherah, Amman, Damsyik, Beirut dan Yaman, ratusan ribu rakyat bangun menuntut negara mereka melakukan sesuatu terhadap keganasan Israel. Gerakan dan demonstrasi rakyat di jalan raya mempunyai implikasi yang menakutkan. Ada kemungkinan sentimen sokongan rakyat terhadap Palestin mencetuskan reformasi di dalam rumah sendiri!

Pembelot autokratik

Dalam gerakan Al-Fatah, wujud kumpulan-kumpulan yang tidak lagi bersetuju untuk menganggukkan kepala kepada segala keputusan Yasser Arafat. Yasser kini dilihat sebagai pembelot yang telah menjualkan hak rakyat Palestin. Beliau kelihatan semakin autokratik dan sedang dikelilingi kroni-kroni yang sedang bergelumang dengan dolar dan kontrak pembangunan hasil daripada perjanjian Oslo.

Retorik dan cakap-cakap kosong Yasser banyak kali didengar oleh rakyat Palestin. Pengisytiharan bersama yang ditandatangani di Kaherah hanya akan menyemarakkan lagi kemarahan rakyat Palestin dan rakyat Arab. Bukan mustahil jika minggu hadapan pembentrokan anak-anak muda Palestin dengan tentera Israel akan berterusan. Demonstrasi di jalan-jalan raya di kota-kota negara Arab yang lain mungkin merebak.

Serangan terhadap kapal perang Amerika Syarikat SS Cole di pelabuhan Eden, Yaman wajib dilihat sebagai satu permulaan. Gerakan-gerakan gerila Islam seperti Hamas dan Hizbullah kelihatan semakin tersusun dan hanya menunggu masa untuk menyerang Israel. Negara Islam seperti Iran masih belum bersuara.

Konflik Arab-Israel tidak mungkin dapat diselesaikan walau dengan seribu penjanjian Camp David. Rejim Zionis wajib dimusnahkan seperti rejim apartheid Afrika Selatan. Perjuangan bersenjata untuk mendirikan negara Palestin yang demokratik dan sekular seperti yang terpahat dalam piagam PLO masih lagi relevan.


HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho. Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi. Dalam DOTMAI beliau akan menulis isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.