Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li janji DEB untuk semua kaum
Diterbitkan:  Jul 18, 2008 8:00 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh berkata beliau akan mengubahsuai Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan pelaksanaannya lebih mantap sekiranya dipilih sebagai presiden Umno.

tengku razaleigh 01 Katanya, dasar itu akan diperkemaskan lagi kerana ia adalah untuk kebaikan semua kaum dan bukan dikhususkan untuk kepentingan orang Melayu sahaja.

"DEB yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak itu bukan sahaja untuk kepentingan orang Melayu, malah untuk kebaikan semua kaum di negara ini.

"Nampaknya selepas pelaksanaannya, dasar berkenaan belum menunjukkan perubahan ketara kepada kemajuan ekonomi orang Melayu dan apa yang perlu kita buat ialah mengemaskan lagi pelaksanaannya," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Bernama, beliau sebelum itu merasmikan persidangan tahunan cawangan-cawangan Umno dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri di Dewan Bukit Chekati, di Gua Musang.

'Bukan tamak kuasa'

Sementara itu, ketika berucap merasmikan persidangan tahunan cawangan-cawangan dalam DUN Paloh di Dewan Orang Ramai Ciku Satu, dekat Gua Musang, hari Tengku Razaleigh berkata beliau bukan tamak kuasa atau gila untuk jadi perdana menteri apabila menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden.

Sebaliknya, katanya, beliau menawarkan diri untuk jawatan tersebut untuk memulihkan Umno kerana rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu.

"Saya bukan tamak kuasa atau gila nak jadi perdana menteri, tetapi apa yang saya nak perjuangkan ialah membela bangsa Melayu dan membendung kadar kemiskinan yang masih tinggi.

"Orang yang menuduh saya tamak dan gila kuasa itu sebenarnya yang ingin mengadaikan maruah bangsa Melayu," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengecam pihak tertentu yang menuduhnya mempunyai kepentingan diri apabila menawarkan diri bertanding jawatan presiden Umno.

Ditanya mengenai sikap Umno Kelantan yang menyambut dingin hasratnya itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak merasa goyah atau hilang keyakinan apabila ada pihak di negeri itu yang menyuarakan sokongan kepada presiden dan timbalan presiden parti sekarang.

"Saya tetap dengan pendirian saya untuk bertanding dan keputusannya sama ada saya menang atau kalah ditentukan oleh anggota parti dalam perhimpunan Agung Umno nanti," katanya

ADS