BERITA

PM sudah jumpa pemimpin tertinggi PAS

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Jul 2008, 3:30 petang

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui hari ini bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin peringkat tertinggi PAS untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan dengan keagamaan.

abdullah ahmad badawi pak lah 110907 Beliau yang juga presiden Umno, juga mendedahkan bahawa sebenarnya pertemuan dengan PAS telah diadakan sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, kata beliau, pertemuan dengan pemimpin peringkat tinggi itu tidak disertai Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, demikian menurut laporan Bernama.

"Saya dah ada pertemuan sebenarnya, dan pertemuan ini pada peringkat awal. Tak perlulah saya bagi maklumat yang lain, nanti saudara buat spekulasi yang bukan-bukan.

"Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah, yang lain tak boleh tanya....(pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan," katanya, seakan memberi gambaran bahawa antara yang terlibat dalam muzakarah itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdullah menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai muzakarah dengan PAS seperti yang dicadangkan oleh Abdul Hadi menerusi satu wawancara bersama Harakah, lidah rasmi parti itu, minggu lalu.

hadi awang 01 Abdul Hadi menerusi wawancara itu menyatakan bahawa PAS berhak mengadakan rundingan bersama UMNO tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang untuk menyampaikan mesej Islam.

Tiada syarat

Mengulas lanjut pertemuan berkenaan, Perdana Menteri berkata antara perkara yang menjadi topik perbincangan ialah kewujudan masalah yang pasti akan timbul sekiranya isu mengenai agama dipolitikkan.

"Kalau hal agama jadi isu politik, ia akan membawa kepada masalah di kalangan orang Islam, itu satu daripada tajuk-tajuknya, ada lagi tajuk yang lain, tak payahlah saya huraikan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara 2008.

Menjawab soalan sama ada Umno bakal mengenakan syarat-syarat tertentu untuk muzakarah berkenaan dan memikirkan kemungkinan untuk melantik pihak ketiga sebagai pengerusi seperti yang disyorkan oleh Nik Aziz, Abdullah berkata sebarang syarat hanya akan menyusahkan.

"Buat apa kita nak letak syarat, menyusahkan sahaja. Kita bincang dengan ikhlas. Apa juga pandangan-pandangan yang kita fikir wajar, kita bincang, kita bincanglah.

"Biarlah kita pada peringkat ini cakap pada peringkat kita sahaja, belum lagi memikirkan sama ada orang ketiga itu perlu atau tidak," katanya.

Abdullah juga berkata, pertemuan itu berjaya melahirkan pemuafakatan dan persefahaman yang baik antara kedua-dua pihak.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.