Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Laporan palsu: Anwar ke BPR lagi

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 9:58pm Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambung keterangan di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini berhubung pemalsuan bukti kesnya 10 tahun lalu yang didakwa dilakukan oleh ketua polis negara dan peguam negara.

Anwar kelihatan masuk ke BPR di Putrajaya kira-kira 10 pagi dan keluarkan lebih tiga jam kemudian.

Dalam sidang media selepas itu, Anwar berkata beliau berpuas hati dengan pihak BPR kerana badan itu bertindak profesional dan mencatat semua keterangannya.

Beliau juga berkata telah memberikan dokumen yang diminta "setakat yang ada" padanya.

Keterangannya sebagai sebahagian siasatan laporan polis beliau terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail yang didakwanya memalsukan bukti dalam laporan kesnya pada 1998.

Pada masa itu, Musa seorang pegawai penyiasat manakala Abdul Gani pula merupaka ketua pendakwaraya terhadap kes Anwar.

Apabila Anwar ditahan pada 20 September 1998, beliau dibawa ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman ketika mantan timbalan perdana menteri itu dipukul oleh ketua polis ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, menyebabkan matanya lebam dan mengalami kecederaan lain di badannya.

Anwar berkata, laporan asal perubatan yang disediakan oleh beberapa orang doktor telah diketepikan.

Dalam laporannya itu, Anwar berkata, laporan perubatan menyimpulkan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah akibat dipukul.

Bagaimanapun, Anwar berkata, laporan tersebut tidak diterima dan mereka yang memukulnya tidak didakwa, sebaliknya peguam negara ketika itu Tan Sri Mokhtar Abdullah - yang didakwanya berpakat dengan Abdul Gani - meminta seorang doktor lain Dr Abdul Rahman Yusof mereka-reka laporan perubatan kedua.

Anwar berkata, beliau percaya, Musa dan Abdul Gani berada di Bukit Aman pada malam beliau dipukul oleh Abdul Rahim dan kedua-duanya "merahsiakan" kejadian tersebut daripada pengetahuan umum.

Sehubungan itu, Anwar mendesak supaya satu siasatan baru dijalankan terhadap dakwaan mereka bukti, yang boleh dihukum sehingga tujuh tahun penjara.

Dalam sidang media berasingan selepas keterangan Anwar, timbalan ketua pengarah BPR Datuk Abu Kassim Mohammed berkata, semua dokumen telah diterima dan setakat ini telah cukup.

Dalam siasatan itu, kesemua 20 saksi dipanggil dan selesai memberikan keterangan, tambahnya.

Bagaimanapun, kata Abu Kassim, mereka boleh dipanggil kembali memberi keterangan jika penjelasan lanjut diperlukan.

Beliau berkata, keterangan-keterangan itu akan disemak dan perbincangan diadakan dengan pengarah bahagian perundangan.

Kertas siasatan itu, bagaimanapun, tidak akan dikemukakan kepada peguam negara kerana menurut Abu Kassim, sudah terdapat 31 pegawai daripada Jabatan Peguam Negara ditempatkan di badan itu.

Menurutnya, peguam negara telah membuat keputusan, semua kes akan dibincangkan di peringkat badan itu sahaja.

"Hanya kes sensitif dirujuk (kepada peguam negara)," tambahnya.

Ditanya sama ada tuduhan Anwar itu dikelaskan sebagai ada kes atau tidak, beliau berkata "belum boleh beritahu lagi."

Pihaknya sedang menyiasat perkara itu, kata Abu Kassim.