Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kempen Pemuda Umno bagi pilihanraya kecil Permatang masuk ke pusingan akhir, dengan mengadakan kempen rumah ke rumah untuk menemui sendiri pengundi sebelum mereka membuat pilihan Selasa ini.

hishammuddin hussein 03 Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keadaannya kini jauh berbeza dari hari pertama di mana "mereka dengan angkuh berkata kita akan hilang deposit".

Katanya, jika semuanya berjalan lancar, tidak mustahil Barisan Nasional (BN) akan menang dalam pilihanraya kecil tersebut.

Hishammuddin berkata, kempen rumah ke rumah itu akan membolehkan mereka bertemu sendiri dengan para pengundi.

"Yang ada di luar sana (menghadiri ceramah) kebanyakannya orang dari luar, bukan pengundi Permatang Pauh.

"Bila turun (Kempen rumah ke rumah), kita akan tentukan mereka yang berhak dapat mengundi," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Pilihanraya kecil Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Angkatan keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat.

'Kempen paling kotor'

Diminta mengulas tanggapan bahawa ini merupakan kempen yang paling kotor, Hishammuddin berkata, bila berdepan dengan PKR, ia dapat dilihat sejak hari penamaan calon lagi.

Bagaimanapun, katanya, beliau bangga kerana anggota Pemuda Umno menjalankan kempen dengan berdisiplin.

"Saya rayu kepada semua jentera kita yang ramai datang bantu supaya terus berdisiplin. Jangan terikut-ikut dengan provoaksi pihak lawan.

"Saya nak ingat pada semua pihak bahawa dunia fokus pada Permatang Pauh. Jangan malukan bangsa sendiri, kita mahu demokrasi di Malaysia dapat dilihat oleh dunia berjalan lancar," tambahnya.

Mengenai pengumuman cuti awam pada hari pengundian Selasa ini, beliau berkata ia sesuatu yang sihat untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk keluar mengundi.

Kubu kuat

Ditanya mengenai dakwaan ada kawasan-kawasan yang sukar dimasuki oleh Barisan Nasional (BN) untuk berkempen, Hishammuddin berkata:

"Pada peringkat awalnya, ada kawasan yang Pemuda (Umno) tidak boleh masuk kerana ia kubu kuat PKR.

"Tapi pada hari ini, dari maklumat yang saya terima, tidak ada kawasan yang kita tidak boleh masuk...," tambahnya.

Hishammuddin juga menolak tanggapan bahawa jika BN kalah dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, ia bermakna rakyat terus menolak gabungan tersebut.

Katanya, ini kerana kerusi parlimen berkenaan merupakan kubu kuat PKR.

Keadaannya akan berbeza jika Anwar bertanding di parlimen Semberong yang diwakilinya.

ADS