Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan sebuah badan berkanun di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa berhubung urusan permohonan lot tapak perumahan.

SPRM Johor dalam kenyataan memaklumkan suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 7.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara 2016 hingga 2025 dengan memperdaya pemohon tanah kerajaan bagi urusan permohonan lot tapak perumahan.

"Suspek dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan meminta wang kira-kira RM4,000 daripada setiap seorang daripada 400 pemohon membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.6 juta.

"Wang berkenaan kemudian disyaki diseleweng untuk kegunaan sendiri menerusi pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa terbabit menggunakan invois palsu," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A), Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.

- Bernama