PAS sasar penyatuan ummah, Putrajaya namun laluannya masih berliku
Sepanjang Muktamar PAS ke-72 yang berakhir pada Sabtu lalu, pendirian tegas parti Islam itu untuk menerajui usaha penyatuan ummah kekal menjadi tema utama yang sering ditekankan oleh pemimpin dan perwakilan.
Perbincangan mengenai agenda itu sering disusuli gesaan supaya sebarang kelewatan yang menghalang kerjasama PAS dengan BN dihentikan, khususnya selepas kehadiran pemimpin Umno pada acara di Kota Bharu, Kelantan itu dilihat sebagai satu bentuk usaha membuka ruang kerjasama.
Jika sebelum ini Bersatu dianggap antara faktor yang menyebabkan Umno, parti tonggak BN, bersikap dingin terhadap kerjasama dengan PN, parti pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin itu mungkin tidak lagi menjadi penghalang selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengannya.
Namun, persoalan masih timbul mengenai bagaimana PN yang dipengerusikan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, akan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan itu, sama ada secara rasmi di atas kertas atau sebaliknya.
Pemerhati politik menjangkakan perkembangan berkaitan kedudukan Bersatu dalam PN selepas muktamar, dengan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, memaklumkan bahawa satu mesyuarat akan diadakan di Kuala Lumpur bulan ini bagi membincangkan kedudukan parti-parti komponen PN, termasuk Bersatu.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dia berkata, pertemuan dengan kepimpinan tertinggi PN itu akan turut menilai prestasi ketua-ketua PN di negeri.
Penilaian itu diadakan ketika terdapat tuntutan terbuka daripada beberapa pemimpin PAS Selangor yang mahu jawatan pengerusi PN negeri itu, yang kini disandang Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, diberikan kepada pemimpin PAS.
Selain Azmin, yang dilihat sebagai penyokong setia Muhyiddin, beberapa pemimpin Bersatu lain turut memegang jawatan dalam kepimpinan PN.
Perkara itu boleh dianggap sebagai duri dalam daging bukan sahaja bagi PAS, malah bagi PN sendiri yang kini turut merangkumi Parti Wawasan Negara pimpinan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
Dalam senario pilihan raya di Selangor, usaha menawan negeri itu berkemungkinan menjadi antara sasaran PAS-PN. Namun, tidak mungkin gabungan itu mahu mencapai matlamat berkenaan bersama Azmin atau rakan-rakannya dalam Bersatu.
Begitu juga BN yang pastinya mahu menebus kekalahan selepas disingkirkan daripada pentadbiran Selangor hampir 20 tahun lalu.
Hubungan PAS-Umno tidak mudah
Walaupun PAS dilihat buat masa ini tetap dengan keputusannya untuk tidak berpatah balik selepas memutuskan hubungan politik dengan Bersatu, usaha merealisasikan impian penyatuan PAS-Umno dijangka tidak akan berjalan lancar sepenuhnya.
Khususnya, pilihan raya Melaka yang akan datang boleh menjadi sama ada sekadar cabaran kecil atau halangan besar kepada kerjasama PAS-Umno, bergantung kepada sejauh mana kedua-dua parti sanggup mengawal tindakan masing-masing bagi mengelakkan gangguan terhadap usaha berkenaan.
PAS dengan jelas menyatakan pendiriannya bahawa mereka mahu kerjasama dengan Umno diteruskan seperti yang berlaku pada pilihan raya Negeri Sembilan, apabila kedua-dua parti mengelakkan pertembungan kerusi dalam satu pakatan atas nama penyatuan Melayu-Islam.
Dengan kompromi dan kesediaan untuk bertolak ansur menjadi penting dalam sebarang bentuk kerjasama antara PAS dan Umno, persoalannya ialah sama ada Umno sanggup mengorbankan sebahagian daripada 21 kerusi BN yang dimenangi ketika ini di negeri Hang Tuah kepada PAS, yang kini tidak mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Persoalan PRU16
Selain Melaka, persoalan turut timbul mengenai bagaimana kerjasama PAS-Umno akan dilaksanakan pada PRU16.
Kepimpinan PAS berulang kali menyatakan bahawa parti itu akan mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya ketika ini, sama ada di peringkat DUN atau Parlimen. Beberapa perwakilan turut menegaskan bahawa parti perlu tegas dalam misi mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
Justeru, adakah BN akan menurunkan calon mereka di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang kini ditadbir PAS menerusi PN? Atau adakah Umno sanggup membiarkan PAS mengekalkan pentadbiran negeri-negeri tersebut?
Selain itu, gesaan supaya PAS menjadi peneraju dalam usaha membentuk kerajaan, termasuk cadangan seorang perwakilan PAS Terengganu agar calon perdana menteri datang dari negeri itu, berpotensi menimbulkan ketegangan dalam hubungan dengan BN.
Pembahagian kerusi antara PN dan BN, khususnya membabitkan parti komponen BN yang mewakili masyarakat bukan Melayu, juga mungkin mencetuskan geseran berikutan pertindihan kawasan sasaran pengundi.
Bagaimanapun, ketegangan dan kebimbangan itu mungkin dapat diredakan sekiranya kedua-dua parti sanggup menggembleng kekuatan masing-masing sambil memberi tumpuan kepada potensi besar yang boleh diraih sekiranya mereka berjaya menghampiri Putrajaya.
Tidak pinggirkan bukan Melayu
Di tengah-tengah gesaan untuk penyatuan ummah yang disuarakan sepanjang muktamar PAS, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan bahawa penyatuan itu bukan “semata-mata untuk orang Melayu” dan tidak akan meminggirkan hak masyarakat bukan Islam.
Bagaimanapun, pada awal muktamar, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, memberi gambaran bahawa pengaruh yang dimiliki orang Melayu-Islam sebagai kumpulan majoriti di Malaysia mungkin terjejas sekiranya mereka gagal menggembleng kekuatan.
Selain itu, seorang perwakilan PAS Wilayah Persekutuan berkata sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU16, Jabatan Wilayah Persekutuan sepatutnya dijadikan “portfolio keutamaan” bagi menunjukkan bagaimana Islam boleh menyelesaikan isu seperti perumahan, kemiskinan bandar dan kesejahteraan sosial.
Gesaan terhadap pentadbiran berteraskan Islam itu kemudiannya ditegaskan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang berkata di bawah sistem yang ditawarkan PAS, jawatan kabinet yang berpotensi diberikan kepada pemimpin bukan Islam tidak akan merangkumi kementerian yang mempunyai kuasa menggubal dasar yang memberi kesan kepada umat Islam.
Dalam ucapan penggulungannya, Ahli Parlimen Marang itu menyatakan bahawa pelaksanaan syariah mesti dilakukan oleh orang Islam. Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada pendirian itu turut meliputi kementerian lain atau pihak berkuasa tempatan yang menguruskan pelbagai urusan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Sementara itu, Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PN, memberitahu di luar muktamar bahawa ganjarn syurga menanti bagi mereka yang mengikuti semua ajaran Islam seperti yang diperjuangkan PAS serta meninggalkan perkara haram.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/09/48951b87d5ff8427bbefaae6abc9e4eb.jpg)
