Muafakat dalam jemaah menteri pada tahap baik - PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan prestasi kabinetnya dan menepis sebarang khabar angin mengenai wujudnya keretakan di Putrajaya.
Pertikaian ini timbul berikutan dakwaan ketegangan hubungan antara dirinya dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, serta tindakan Kementerian Kewangan yang diterajui Anwar mengeluarkan data kurang menyenangkan berhubung cara Zahid menguruskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Semasa ucapannya pada perhimpunan bulanan Kementerian Ladang dan Komoditi di Putrajaya, hari ini, Anwar berkata persepsi mengenai keretakan itu sekadar naratif di media sosial.
“Betul, kita tidak menafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar jelas, politik stabil (dan) kerjasama yang ada dalam Jemaah Menteri walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.
“Tetapi dari segi kerjasama, umumnya kita bermuafakat dengan baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan membolehkan kita merencanakan negara,” katanya.
Mingu lepas, Bloomberg melaporkan bahawa hubungan Anwar dan Zahid semakin tegang, sehingga menyebabkan mesyuarat kabinet baru-baru ini berlangsung lebih singkat.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/88c37c5dbdfd73c89fa707198ca589fe.jpg)
Memetik sumber yang "mempunyai maklumat" mengenai perkara itu, Bloomberg melaporkan bahawa perbalahan tersebut berpunca daripada keputusan Zahid untuk memimpin BN bertanding menentang PH pada pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan.
Zahid secara terbuka meluahkan rasa kecewa berhubung kelewatan pengagihan dana kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah Kementerian Kewangan yang diterajui Anwar.
Dia menggesa Kementerian Kewangan supaya menyegerakan pembayaran, dengan menyatakan bahawa kontraktor yang menyiapkan projek masih menunggu dana, malah ada yang terpaksa gulung tikar akibat masalah aliran tunai.
Sebagai maklum balas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata tiada sebarang sekatan dikenakan ke atas peruntukan jalan luar bandar bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, dan dana berkenaan dikeluarkan sepenuhnya.
Dia turut menggambarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sentiasa berbelanja melebihi bajet, dan menyatakan Kementerian Kewangan sedang berusaha mengenalpasti penjimatan kos daripada kementerian lain bagi menampung perbelanjaan berlebihan kementerian tersebut.
Semalam, Zahid menafikan berbelanja secara berlebihan dan menegaskan bahawa dia sentiasa mematuhi peruntukan bajet yang ditetapkan.
Pada majkis itu, perdana menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang diraih sebaliknya terus berusaha untuk meningkatkan prestasi kerajaan.
Dia berkata pencapaian yang membanggakan tidak harus menyebabkan kerajaan “dilamun rasa enak dan senang (dengan) kejayaan”, tetapi menjadi dorongan untuk terus bekerja keras demi kepentingan negara.
Selain itu, Anwar berkata pertumbuhan ekonomi pada suku kedua tahun ini turut mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan meskipun berhadapan cabaran.
Malaysia dilaporkan terus mencatat prestasi luar jangka bagi tiga suku berturut-turut dan berkembang sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 5.4 peratus direkodkan pada suku sebelumnya.
Prestasi itu merupakan yang paling kukuh bagi suku kedua di luar tempoh pandemik sejak 2014.
Pencapaian suku kedua 2026 telah menjadikan pertumbuhan separuh pertama 2026 sebanyak 5.7 peratus, sekali gus meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh kerajaan, iaitu antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi 2026.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/753ef9aae70a68052e7bd97d557bc71f.jpg)
