Penubuhan Majlis Perundingan Ummah yang telah dipersetujui jemaah menteri akan berperanan sebagai platform memperkukuh agenda perpaduan umat Islam serta pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya majlis itu akan diperkukuh menerusi penyertaan pelbagai kelompok pakar bagi memastikan setiap syor yang dikemukakan mampu memberi manfaat kepada kemaslahatan ummah secara menyeluruh.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, sebagai langkah awal Majlis Ulama Umno diberi tempoh 100 hari untuk menyediakan pelan tindakan yang praktikal dan berorientasikan hasil bagi mengukuhkan agenda perpaduan ummah.

Pelan itu, katanya, akan merangkumi wahdatul fikr (penyatuan pemikiran), pengurusan perbezaan politik serta agenda utama umat Islam.

Dapatannya itu pula, tambah Ahmad Zahid, bakal dibentangkan dalam Majlis Perundingan Ummah yang akan dipengerusikannya kelak.

“Sebagai susulan multaqa ini, saya mahu Majlis Ulama Umno menyediakan suatu pelan tindakan persefahaman yang praktikal merangkumi penyatuan wahdatul fikr, pengurusan perbezaan politik dan agenda utama ummah,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid berkata penubuhan majlis itu juga merupakan usaha menghidupkan semula platform rundingan Islam yang pernah diwujudkan sebelum ini seperti Majlis Perundingan Islam (MPI) dan Badan Perundingan Islam (BPI).

“Mudah-mudahan daripada multaqa ini, lahir lebih ramai ilmuwan yang bukan sekadar menjadi suara umat tetapi menjadi kekuatan yang membina umat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, perbezaan pandangan tidak seharusnya melemahkan umat, sebaliknya masyarakat perlu belajar mengurus perbezaan dengan ilmu dan adab serta mencari titik penyatuan tanpa memaksa semua pihak mempunyai pemikiran yang sama.

“Kesatuan umat bukan bermaksud semua mesti sependapat. Kita boleh berbeza organisasi, pendekatan malah pendirian politik. Tetapi jangan sampai perbezaan memutuskan persaudaraan dan perkara kecil mengatasi maslahat yang lebih besar.

“Dalam urusan siasah pun begitu juga. Agama tidak boleh diperalatkan untuk melabel, memfitnah atau menanam kebencian sesama umat,” katanya.

Dia turut mengingatkan para ilmuwan agar tidak membiarkan keutamaan umat ditentukan oleh sentimen media sosial atau pertarungan politik, sebaliknya membantu masyarakat membezakan antara isu popular dengan perkara yang benar-benar memberi kesan kepada pembangunan sahsiah.

Tambah Ahmad Zahid perlu berlaku anjakan daripada sekadar mempertahankan Islam kepada memperkasa umat menerusi peningkatan kualiti pendidikan, institusi keluarga, keupayaan ekonomi serta penguasaan teknologi.

- Bernama