DAP terus mendesak pelaksanaan janji PH untuk agihan dana kawasan yang sama rata, dengan Pulau Pinang bakal menjadi negeri pertama yang menguatkuasakan reformasi berkenaan.

Setiausaha Agung parti, Anthony Loke berkata jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP hari ini memutuskan untuk meminta kerajaan negeri Pulau Pinang supaya menggubal undang-undang bagi menjamin semua anggota Dewan Undangan Negeri menerima peruntukan yang saksama, tanpa mengira fahaman politik.

“... ini bagi menjamin layanan yang adil dan sama rata kepada semua Adun Pulau Pinang, tanpa mengira parti politik yang diwakili, supaya pemberian peruntukan pembangunan kawasan secara sama rata dapat dijamin melalui perundangan.

“CEC berpandangan bahawa prinsip yang sama wajar diperluaskan ke peringkat Persekutuan serta dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri di seluruh negara.

“Peruntukan pembangunan kawasan harus diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik wakil rakyat yang dipilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CEC turut bertekad menghormati keputusan perwakilan DAP semasa persidangan kebangsaan parti itu bulan lalu untuk kekal dalam kerajaan persekutuan sehingga tamat tempoh parlimen semasa.

Loke berkata mereka akan melaksanakannya dengan meneruskan agenda reformasi serta memastikan ia dijayakan.

Ini termasuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, serta menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri.

“Dalam hubungan ini, CEC mengambil pendirian bahawa dua agenda reformasi penting yang melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, seharusnya dibahaskan dan diputuskan di Parlimen pada persidangan yang akan datang pada bulan Oktober,” katanya.

Mengenai pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak akan datang, Loke berkata parti itu akan mula membuat persiapan untuk mempertahankan semua kerusi penyandang serta mengenal pasti kawasan lain yang berpotensi untuk ditandingi.

Isu peruntukan saksama menjadi titik pertikaian bagi DAP dalam kalangan penyokongnya sejak kerajaan persekutuan pimpinan PH enggan menunaikan janji pilihan raya itu selepas kembali berkuasa pada 2022.

Pada masa ini, hanya anggota parlimen kerajaan menerima dana berkenaan, manakala peruntukan di negeri pembangkang dikendalikan oleh pegawai perhubungan yang dilantik kerajaan. Kerajaan turut menarik balik kawalan dana daripada anggota parlimen PKR yang membangkang.

Keadaan ini mengehadkan keupayaan anggota parlimen untuk berkhidmat kepada pengundi di kawasan mereka, di samping memberi kelebihan ekonomi kepada kerajaan persekutuan semasa untuk mempengaruhi pengundi.

Bulan lalu, Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh sekali lagi membangkitkan isu berkenaan dengan menggesa perdana menteri merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk menunaikan janji tersebut.

Setakat ini, hanya Perak dan Kelantan yang mengamalkan pengagihan dana pembangunan kawasan secara saksama untuk wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Kerajaan negeri Perak mula melaksanakan amalan itu pada 2020 di bawah kepimpinan Menteri Besar Saarani Mohamad, yang mewakili Umno, manakala pentadbiran negeri Kelantan pimpinan PAS mengguna pakai pendekatan tersebut pada 2023.

Bagaimanapun, Bersih, sambil memuji kerajaan negeri terbabit, menjelaskan bahawa amalan ini dibuat melalui dasar pentadbiran dan bukannya dimaktubkan sebagai undang-undang negeri.

Menurut badan pemerhati pilihan raya itu, amalan pengagihan yang tidak adil dilaporkan di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Pahang, yang wakil rakyat pihak kerajaan menerima lebih banyak peruntukan berbanding rakan sejawatan mereka daripada pembangkang.

Sarawak pula mewakili kes paling melampau, dengan Adun pihak kerajaan menerima sekurang-kurangnya RM8 juta dalam peruntukan tahunan, manakala wakil rakyat pembangkang tidak menerima apa-apa, menurut Bersih.