Tempoh mesyuarat kabinet bukan penentu hubungan Anwar, Zahid
Tempoh panjang atau singkat sesuatu mesyuarat kabinet bukanlah kayu ukur untuk menentukan sama ada hubungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi bermasalah atau tidak.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad, berkata tempoh perbincangan anggota jemaah menteri bergantung kepada kertas mesyuarat yang dibentangkan pada minggu berkenaan.
Justeru, katanya, ada ketika tertentu mesyuarat berlangsung lebih lama dari biasa, dan pada waktu yang lain ia boleh tamat lebih cepat.
Mengenai situasi semasa, Noraini berkata, ia berjalan seperti selalu.
"Mesyuarat kabinet ini ikut berapa banyak paper (kertas mesyuarat) yang dibawa. Kalau banyak, lambatlah habisnya,” kata kepada Malaysiakini.
Kenyataan itu menyusul ekoran laporan Bloomberg yang mendakwa hubungan di antara Anwar dan Ahmad Zahid semakin tegang sehingga menyebabkan mesyuarat kabinet kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.
Laporan itu menyebut ketegangan berkenaan berpunca daripada tindakan Ahmad Zahid yang memutuskan BN mendekati PAS-PN dan berseteru dengan PH dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan baru-baru ini.
Bagaimanapun, sumber dalaman Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan terdapat perubahan ketara terkait hubungan kerja antara Anwar dan Ahmad Zahid.
“Setakat pemerhatian tak ada apa perubahan dan kalau jumpa pun sembang OK saja.
“Kalau kata dah tak bercakap itu, kalau dulu pun memang jarang-jarang ada pertemuan berdua.
“Setakat ini tak ada perubahan ketara, tak nampaklah,” kata sumber itu.
Menurut sumber berkenaan, mesyuarat kabinet juga berjalan seperti biasa dan tiada sebarang isu atau gangguan.
Sementara itu, Setiausaha politik Anwar, Kamil Abdul Munim, berkata berdasarkan pemerhatiannya, hubungan kerja antara Anwar dan Ahmad Zahid ketika ini adalah seperti biasa.
“Setakat pemerhatian, hubungan baik,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa mesyuarat kabinet menjadi lebih pendek, Kamil berkata tempoh mesyuarat bergantung kepada perkara yang dibincangkan dan ia merupakan perkara biasa jika mesyuarat berakhir lebih awal pada minggu tertentu.
“Tempoh perjalanan mesyuarat kabinet tertakluk kepada perkara yang dibincangkan.
“Adakala lama, adakala sedikit awal. Itu perkara biasa,” katanya.
Kamil yang juga Ketua Pemuda PKR itu turut menegaskan pertikaian antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Kementerian Kewangan yang timbul baru-baru ini hanya melibatkan isu pentadbiran.
Ketika ditanya sama ada isu berkenaan pernah menjadi punca perbezaan pandangan antara perdana menteri dan timbalannya secara peribadi atau dalam kabinet, dia menjawab ringkas: “Hanya melibatkan isu pentadbiran.”
Terdahulu, hubungan di antara Anwar Ibrahim dengan Ahmad Zahid Hamidi dikhabarkan semakin tegang sehingga menyebabkan mesyuarat kabinet kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.
Keadaan itu, dakwa sumber terbabit, turut dipengaruhi tekanan daripada DAP supaya reformasi institusi dilaksanakan menjelang akhir tahun di sebalik Anwar selaku perdana menteri perlu mendapatkan sokongan blok Ahmad Zahid mendapatkan majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat sebelum pindaan perlembagaan dapat dibuat.
Antara isu yang melibatkan pindaan perlembagaan ialah mengehadkan tempoh seseorang menduduki jawatan perdana menteri.
Bulan lalu, bekas menteri Khairy Jamaluddin mendakwa tahap kepercayaan antara Anwar dan Zahid berada pada “tahap paling rendah” sejak pembentukan kerajaan Madani.
Sebagai respons, Anwar menegaskan hubungan mereka masih baik dan menolak dakwaan Khairy itu sebagai “pandangan peribadi”.
Pada Isnin lalu pula, ketegangan di antara perdana menteri dengan seorang daripada timbalannya itu semakin ketara apabila Ahmad Zahid yang juga menteri KKDW secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati berhubung penyaluran peruntukan yang berada di bawah kementerian kewangan pimpinan Anwar.
Ahmad Zahid menggesa MOF mempercepatkan penyaluran peruntukan kerana kontraktor yang telah menyiapkan projek masih menunggu bayaran dan sebahagiannya terpaksa gulung tikar akibat masalah aliran tunai.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid ketika menghadiri Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan Educity, di Iskandar Puteri, Johor pada Ahad menafikan dakwaan wujud perselisihan atau masalah antara dia dengan Anwar.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/ede1aa7e21de8412f797b8e050530179.jpg)
