Umno, PAS sama-sama terluka, usah wariskan persengketaan- Akmal
Dikemas kini dengan berita penuh.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengingatkan PAS bahawa mereka “sama-sama terluka” disebabkan muafakat yang terjalin sebelum ini, namun tidak bermakna perlu mewariskan persengketaan kepada generasi akan datang.
"Saya tahu ada hati masih terluka. Umno pernah kecewa dengan PAS dan kecewa PAS dengan Umno masih ada.
"Tugas orang muda bukan mewarisi sengketa lama.
“Tugas orang muda adalah memimpin masa depan, kita boleh berbeza, tak setuju tapi janganlah terus tak setuju hingga akhirnya orang Melayu kehilangan segalanya," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar persidangan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Persidangan Pemuda Umno hari ini turut menyaksikan kehadiran wakil Pemuda PAS yang diketuai Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Kehadiran Afnan sebagai "membalas" kehadiran Akmal serta pemimpin pemuda ke Muktamar Tahunan PAS di Pengkalan Chepa minggu lalu.
Kerjasama Umno-PAS berputik kembali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ogos lalu apabila BN dan PN berganding bahu, sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Kini, Umno dan PN khususnya PAS sedang berunding bagi kerjasama menghadapi PRN Melaka yang akan diadakan tidak lama lagi.
Mengulas hubungan dengan PAS, Akmal menegaskan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa sering menekan mengakibatkan mereka perlu memilih prinsip berbanding kerjasama.
Ungkit isu babi di Selangor
Dakwanya, banyak kali PH melanggar soal prinsip, maruah dan sensitiviti Melayu, Islam dengan memetik isu babi serta titah sultan yang dilanggar begitu sahaja.
"Banyak kali PH langgar prinsip, maruah sensitiviti orang Melayu, Islam. Kenapa bekerjasama dengan PAS? Jangan tanya Umno, tanya PH berapa kali langgar prinsip (kerjasama).
"Sebelum dapat kuasa bukan main lagi (PH) menjunjung titah...hal babi mencabar titah raja. Di mana suara PH?" tambahnya.
Dalam ucapannya juga Akmal turut memberi teguran kepada wakil rakyat dari Pemuda Umno yang tak "perform" (menunjukkan prestasi baik) tidak akan dicalonkan semula untuk bertanding.
Khususnya membabitkan wakil rakyat yang mementingkan urusan peribadi, sukar dihubungi dan malas bekerja.
“Saya nak tegur kepada wakil rakyat pemuda, dan saya nak ingatkan kepada wakil rakyat pemuda, tiada apa yang lebih penting daripada perjuangan parti keramat kita yang ada pada hari ini.
“Saya tegas, Tok Mat (Mohamad Hasan), jika ada mana-mana wakil rakyat dari pemuda kepentingannya lebih daripada kepentingan parti, maka saya tak teragak-agak untuk kita tak mencalonkan wakil rakyat ini pada pilihan raya yang akan datang,” katanya.
/file/attachments/orphans/akmal_793074.jpg)
