MCA sekolahkan PH tentang konsistensi, bangkitkan kes Peter Anthony
Presiden MCA Wee Ka Siong menyertai perbalahan mulut antara PH dan Umno berhubung permohonan baharu pengampunan diraja oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang kini dipenjarakan.
Dalam satu hantaran di media sosial, dia menasihati PH tentang kepentingan mempertahankan prinsip secara konsisten, walaupun jika ini membabitkan musuh politik.
Wee turut membangkitkan sikap gabungan itu yang tidak membuat bantahan apabila bekas menteri negeri Sabah Peter Anthony dibebaskan secara parol pada Mac lalu, hanya setahun selepas menjalani hukuman penjara tiga tahun.
“Jika kita benar-benar mahu mempertahankan institusi negara, kita perlu menghormati semuanya — badan kehakiman, undang-undang yang dilaksanakan oleh pihak eksekutif, serta kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Raja-Raja.
“Jangan apabila sesuatu keputusan memihak kepada pihak yang kita suka, kita panggil ia rule of law, tetapi apabila mekanisme Perlembagaan digunakan terhadap pihak yang kita tidak suka, kita tiba-tiba mempertikaikannya.
“Prinsip tidak boleh berubah hanya kerana nama individunya berbeza,” tambahnya.
Peter didapati bersalah pada 2022 atas pertuduhan memalsukan surat yang didakwa dikeluarkan oleh pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah, dalam kes yang berlaku 11 tahun lalu berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan.
Hukuman penjaranya hanya bermula tahun lepas, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan berkenaan.
Hantaran Wee itu dibuat bagi mengulas pendirian majlis presiden PH bahawa mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, terutamanya dalam kes berprofil tinggi, sepatutnya menjalani hukuman penuh yang ditetapkan oleh mahkamah.
Perkembangan ini menyusul laporan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, dijadualkan mempertimbangkan permohonan pengampunan Najib esok.
Pendirian PH itu mencetuskan kecaman daripada Umno, dengan setiausaha agungnya Asyraf Wajdi Dusuki menuduh PH tidak menghormati kuasa perlembagaan Raja-Raja Melayu.
Kenyataan itu kemudiannya mendapat bidasan keras daripada bendahari Pemuda PH Lim Chun Weng, yang berhujah bahawa usaha mempertahankan keluhuran undang-undang tidak sepatutnya "diputarbalikkan" sehingga kelihatan seperti mempertikaikan kuasa Raja-Raja untuk memberi pengampunan.
Sementara itu, Wee berpendapat pendirian PH tidak mencerminkan keseluruhan kerangka undang-undang dan Perlembagaan negara.
“Dalam sistem keadilan Malaysia, terdapat beberapa fungsi yang berbeza. Mahkamah menentukan sama ada seseorang itu bersalah dan menjatuhkan hukuman.
“Pihak eksekutif pula mentadbir pelaksanaan hukuman mengikut undang-undang, termasuk melalui mekanisme seperti remisi dan parol.
“Pada masa yang sama, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja/Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing,” tambahnya.
Oleh itu, Wee berhujah adalah tidak tepat untuk mendesak bahawa seseorang pesalah mesti menjalani hukuman penuh yang dijatuhkan oleh mahkamah tanpa mengambil kira mekanisme sah lain yang disediakan di bawah perlembagaan.
J”ika semua hukuman mahkamah mesti dijalani 100 peratus tanpa sebarang kemungkinan pengurangan, pelepasan atau pengampunan, maka untuk apa diwujudkan sistem remisi, parole, Lembaga Pengampunan dan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan?
“Kuasa pengampunan ialah satu kuasa Perlembagaan yang berasingan dan sah.
Begitu juga dengan parol,” katanya sambil merujuk kes Peter.
“Ketika itu, tidak pula kedengaran bantahan besar daripada PH... justeru, prinsip yang sama mesti digunakan secara konsisten.
“Kedaulatan undang-undang bukan bermaksud kita hanya menghormati keputusan mahkamah tetapi mengetepikan mekanisme lain yang turut diperuntukkan oleh undang-undang dan Perlembagaan,” katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/19d5b132400027dfbab50f0bd7722e90.jpg)
