Umno tiada halangan pemimpin diheret ke mahkamah ‘jika ada bukti’
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pemimpin kanan parti berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
Katanya, Umno juga bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membolehkan proses pendakwaan dilakukan sekiranya terdapat asas yang mencukupi.
“Jika ada bukti-bukti yang kukuh untuk pendakwaan dilakukan, kita tidak ada sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada (pihak berkuasa) untuk melakukan pendakwaan.
“Tetapi lazimnya sebelum pendakwaan itu dilakukan, sepatutnya ia dimulakan dengan siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno, hari ini.
Menurut Zahid, siasatan berkenaan hendaklah dijalankan secara adil dan telus sebelum sebarang tindakan pendakwaan dibuat.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan beberapa pemimpin kanan Umno ditahan selepas perhimpunan agung parti itu.
Ditanya sama ada terdapat sebarang maklumat rasmi mengenai kemungkinan penahanan berkenaan atau pengumuman berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Zahid berkata dia belum menerima sebarang maklumat rasmi.
Sementara itu mengulas perkembangan membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata Umno mengharapkan keputusan terbaik.
Katanya, dia yakin kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong akan menentukan keputusan berhubung permohonan pengampunan Najib.
Harapan sama turut disuarakan Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi.
“Kita harapkan yang terbaik dan kita sentiasa doakan dipermudahkan segala yang terbaik,” katanya ringkas dalam sidang media selepas berucap pada Perhimpunan Agung Wanita Umno Malaysia, di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC), hari ini.
/file/attachments/orphans/sdfadasdsd_335858.jpg)
