Anthropic dedah firma Turki tawar alat AI manipulasi sentimen politik di Malaysia
Syarikat Kecerdasan Buatan (AI) Anthropic mendedahkan satu usaha terancang yang dipercayai cuba menyalahgunakan model utamanya, Claude, untuk memanipulasi pilihan raya di Malaysia.
Menurut Anthropic, syarikat teknologi Turki, BBS Bilisim Teknolojileri, menjual perkhidmatan berbayar yang menggunakan AI untuk mempengaruhi pandangan dan politik. Syarikat itu memasarkan perkhidmatan tersebut sebagai “ekosistem operasi politik masa nyata berasaskan AI bertaraf ketenteraan”
Anthropic berkata tiada petunjuk bahawa operasi itu berjaya mempengaruhi pendapat dengan ketara, namun pendedahan berkenaan menunjukkan usaha berterusan untuk memanipulasi ekosistem maklumat Malaysia secara buatan – kini dengan bantuan teknologi AI.
Menurut Laporan Risikan Ancaman Anthropic bagi September 2026, pihak terbabit menggunakan data banci dan pilihan raya sebenar dalam model AI Claude untuk membina profil kawasan pilihan raya dan mengenal pasti kumpulan pengundi berdasarkan faktor kaum, agama dan institusi diraja.
Pihak terbabit turut menggunakan Claude untuk mengurus lebih 1,000 akaun di X. Akaun itu terlebih dahulu dibiarkan aktif untuk satu tempoh supaya kelihatan seperti akaun sebenar sebelum digunakan untuk mempengaruhi pengguna.
Ia turut menggunakan Claude Code untuk membangunkan satu papan pemuka bagi memantau akaun palsu berkenaan. Papan pemuka itu membolehkan pengguna menetapkan jumlah tontonan buatan yang mahu diberikan kepada setiap sasaran.
“Kami mendapati satu permintaan untuk mendapatkan satu juta tontonan buatan bagi akaun perdana menteri Malaysia bagi menyokongnya,” menurut laporan itu.
Anthropic berkata akaun seorang “pegawai kanan kerajaan Malaysia” merekodkan jutaan interaksi buatan pada papan pemuka tersebut.
Bagaimanapun, Anthropic berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan angka yang dipaparkan pada papan pemuka itu kerana angka berkenaan datang daripada alat yang digunakan pihak terbabit sendiri.
Menurut Anthropic, pihak terbabit turut cuba mendapatkan kontrak dengan “pengawal selia komunikasi Malaysia”, namun tiada bukti menunjukkan usaha itu berjaya. Laporan berkenaan tidak menjelaskan skop atau bentuk kontrak tersebut.
MCMC nafi terlibat
Ketika dihubungi, MCMC berkata pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau pengaturan seperti yang dihuraikan dalam laporan Anthropic. Suruhanjaya itu berkata pihaknya mengambil serius laporan itu dan sedang mengumpulkan maklumat lanjut bagi menentukan tindakan seterusnya.
“Melindungi orang ramai dan menangani kemudaratan dalam talian kekal sebagai tanggungjawab utama MCMC,” katanya dalam satu kenyataan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/b0cbfdb63d2b8f3644022bd5cb4b4ecd.jpg)
Selain meningkatkan sokongan terhadap tokoh kerajaan, laporan itu berkata pihak berkenaan turut menghasilkan fail risikan bagi menyebarkan dakwaan palsu terhadap seorang ahli politik pembangkang dan beberapa pertubuhan masyarakat sivil.
“Dakwaan ini semuanya direka oleh pihak terbabit […]
“Apabila Claude enggan melaksanakan tindakan yang diminta dalam operasi itu, termasuk selepas ia mengenal pasti satu dokumen sebagai bahan untuk fitnah politik, pihak berkenaan berunding untuk mendapatkan perkataan yang telah dinyahsensitifkan bagi meneruskan pembinaan keupayaan yang sama,” katanya, sambil menambah akaun yang terlibat telah dibuang selepas operasi itu dikesan.
Laman berita palsu
Laporan itu turut menyatakan pihak terbabit mengendalikan sebuah laman berita palsu, Malaysia Pulse, yang mempunyai saluran YouTube dengan hanya satu video.
Organisasi berita sintetik itu mengambil laporan daripada organisasi media yang sah, menggunakan Claude untuk menulis semula kandungan tersebut beberapa kali, sebelum menerbitkannya semula menggunakan nama penulis yang direka.
/file/attachments/orphans/50310bb34607a9bcac2a1ecddae75c7547ebc5e2-1990x1150_927979.jpg)
Ia turut menerbitkan semula artikel daripada media Rusia dan China yang mempunyai hubungan dengan kerajaan masing-masing tanpa menyatakan sumber, sekali gus menyampaikannya seolah-olah sebagai laporan bebas oleh sebuah organisasi media Malaysia.
Laporan itu tidak menyatakan bila operasi berkenaan aktif atau pilihan raya mana yang menjadi sasarannya, walaupun tangkap layar yang disertakan menunjukkan hantaran dengan garis masa pada Mei dan Jun 2026.
Semakan Malaysiakini mendapati laman web Malaysia Pulse serta akaun yang dikaitkan dengan operasi berkenaan kini tidak lagi boleh diakses.
Warta Pendaftaran Perdagangan Turkiye menyatakan BBS Bilisim Teknolojileri dimiliki secara bersama oleh dua warga Turkiye, Türker Batuhan Sarı dan Bedri Sarı, dengan masing-masing memegang 50 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
Türker merupakan pengasas syarikat berkenaan, manakala Bedri ialah pengarah urusannya.
Laporan itu menunjukkan ia bukan kali pertama peningkatan sokongan politik Malaysia secara buatan didokumentasikan.
Tahun lalu, Malaysiakini mendedahkan satu rangkaian sekurang-kurangnya 263 siber trooper yang secara buatan meningkatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Facebook, selain menemukan kaitan antara rangkaian itu dengan seorang pegawai Pemuda PKR.
Pejabat Perdana Menteri menafikan penglibatan dalam rangkaian yang didedahkan Malaysiakini itu.
Dalam laporan ancaman yang serupa pada 2022, Meta berkata ia menemui operasi pengaruh yang dikaitkan dengan Polis Diraja Malaysia, walaupun pihak polis menafikan penglibatan. Pada ketika itu, Malaysia ditadbir oleh gabungan BN-PN di bawah pimpinan Ismail Sabri Yaacob.
Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan BBS Bilisim Teknolojileri untuk mendapatkan ulasan berhubung penemuan Anthropic sejak semalam, namun masih belum menerima maklum balas.
/file/attachments/orphans/DSC00062_347152.jpg)
