Setiap negeri perlu bentuk kerjasama politik berbeza - Mohamad Hasan
Tiada pendekatan sama atau “one size fits all” dalam menentukan bentuk kerjasama politik Umno dengan parti lain di peringkat negeri, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan.
Menurutnya, keadaan politik dan hubungan antara parti di setiap negeri adalah berbeza, justeru pendekatan kerjasama perlu disesuaikan dengan realiti setempat.
“Tak ada one size fits all,” katanya ketika ditemui dalam lawatannya ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan itu hadir ketika Umno mula membincangkan strategi menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk bentuk kerjasama dengan PAS dan parti lain di beberapa negeri.
Umno Kedah sebelum ini dilaporkan berkata parti itu berpendirian untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan PAS mengenai kerjasama pilihan raya, dan bukan dengan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan.
Ketua Umno Bahagian Merbok, Shaiful Hazizy Zainol Abidin ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno Kedah mahu duduk minum kopi dan berbincang dengan PAS.
“Kedah Umno baru-baru ini membuat keputusan bahawa kita akan mula berbincang dengan PAS. Kita akan mula duduk dengan PAS sambil minum kopi, tetapi bukan dengan PN,” katanya.
Shaiful turut menyindir kemasukan Parti Wawasan Negara (Wawasan) ke dalam PN dengan melabelkannya sebagai “parti kucing”, merujuk kepada saiz kecil parti berkenaan.
Mengulas lanjut kenyataan itu, Mohamad berkata keputusan akhir mengenai bentuk kerjasama di Kedah tetap diserahkan kepada Zahid dan kepimpinan tertinggi Umno.
“Biarlah mereka buat apa sahaja perbincangan di peringkat negeri dan apa jua perbincangan mereka itu.
“Bagaimanapun mereka perlu bawa ke pengetahuan ibu pejabat dan tiba masanya nanti pengurusan di ibu pejabat akan meneliti setiap apa jua rundingan perbincangan yang dilakukan,” katanya.
Pendirian Kedah Umno itu dibuat ketika hubungan politik antara Umno dan PAS di negeri berkenaan dilihat semakin diberi ruang untuk diperbaiki, termasuk bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum akan datang.
Kerjasama BN dengan PN di Negeri Sembilan pada PRN lalu menghasilkan kemenangan besar apabila gabungan berkenaan berjaya merampas pentadbiran negeri daripada Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Mohamad menegaskan bahawa formula kerjasama di sesebuah negeri tidak semestinya boleh diterapkan secara sama di negeri lain.
Jelasnya, Umno tiada menetapkan satu bentuk kerjasama yang terpakai secara menyeluruh bagi menghadapi pilihan raya akan datang, sebaliknya mengambil kira dinamika politik setiap negeri.
/file/attachments/orphans/hamidi14_521638.jpg)
