PAS menegaskan keikhlasan mereka menawakan kerjasama politik tidak wajar diukur dengan pilihan raya apatah lagi ketika keadaan menunjukkan masanya belum sampai untuk berbuat demikian.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pilihan raya melibatkan mandat rakyat yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Malah, tambah Tuan Ibrahim, pembubaran DUN lebih tidak diperlukan jika tiada sebarang keadaan mendesak timbul.

“Pilihan raya bukan alat mengukur keikhlasan muafakat politik. Ia adalah sebuah mandat rakyat.

“Selagi tiada keperluan mendesak, rakyat tidak perlu dibebankan dengan tekanan politik dan kos bagi menghadapi PRN,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam kenyataan hari ini.

Ia menyusul sebagai mengulas cadangan dilontarkan Timbalan Presiden Umo, Mohamad Hasan, agar ada antara empat negeri ditadbir PAS-PN (SG4) membubarkan DUN mereka untuk membolehkan PRN berlangsung.

Menyarankan agar ia dibuat selepas PRN Melaka – yang tarikhnya belum diketahui – Mohamad berkata, melalui PRN di SG4 itu dapatlah Umno menguji keikhlasan PAS-PN dalam menjalin kerjasama dengan mereka.

Untuk konteks, di SG4 itu, Umno-BN hanya mempunyai dua orang wakil daripada 128 jumlah keseluruhan. Kedua-dua Adun Umno itu berada dalam DUN Kelantan.

PAS dan Umno menjalin kerjasama secara terbuka di Negeri Sembilan walaupun sebelum itu – di Johor – riaknya sudah kelihatan namun dinafikan oleh Umno.

Ketika ini kedua-dua pihak sedang cuba mencari persefahaman untuk menghadapi PRN Melaka pula.

Menurut Tuan Ibrahim, tiada keperluan untuk mengadakan PRN di Terengganu memandangkan pentadbiran semasa berada dalam keadaan stabil dan pencapaian kerajaan negeri sangat baik.

“Semua PRN seperti Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini diadakan berikutan tempoh penggal sudah cukup atau terpaksa diadakan,” katanya.

Untuk rekod bagi Johor, sebenarnya ketika DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, tempoh penggal negeri itu masih berbaki sehingga April tahun depan berdasarkan kepada sidang pertama pada 21 April 2022.

Untuk Negeri Sembilan pula, DUN terbubar selepas Adun Umno-BN menarik sokongan mereka kepada menteri besar, Aminuddin Harun, serta krisis melibatkan istana.

Penggal pentadbiran kerajaan negeri sepatutnya berakhir pada 26 Sept 2028.

Dalam ucapannya semalam, Mohamad berkata PAS-PN wajar membubarkan mana-mana DUN mereka – sama ada Kedah, Perlis, Kelantan atau Terengganu – dan bolehlah dilihat bagaimana kedua-dua parti berpakat dalam pembahagian kerusi.

Sebelum ini, kata Mohamad, Umno-BN sudah menunjukkan keikhlasannya dengan bekerjasama dengan PAS di Johor dan Negeri Sembilan.

Dia turut menyoroti apakah formula yang akan digunapakai oleh PAS sekiranya kerjasama dan PRN Terengganu diadakan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, formula diguna pakai di Negeri Sembilan adalah yang terbaik untuk kerjasama dengan Umno-BN iaitu dengan parti yang menang mengekalkan kerusi masing-masing manakala kerusi lain, mereka bertolak ansur.

Pada masa sama, bekas menteri itu juga berpendapat, pembubaran parlimen adalah langkah yang lebih wajar berbanding PRN bagi mendapatkan mandat baru rakyat.

“Bola ditangan BN, GRS, dan GPS. Yang penting kami PN mengarahkan seluruh jentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.