Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menegaskan Himpunan Perpaduan Ummah yang menyasarkan penyertaan sejuta umat Islam tidak terhad kepada penyokong Umno dan PAS semata-mata.

Sebaliknya, Akmal berkata himpunan itu terbuka kepada semua pihak tanpa mengira parti politik atau bangsa, selagi matlamatnya adalah untuk menyatukan ummah.

“Untuk makluman, kita tidak pernah menutup atau menghadkan Himpunan Perpaduan Ummah ini untuk mana-mana parti ataupun organisasi.

“Himpunan ini melibatkan semua, tidak kira parti atau bangsa. Selagi mana ia bertujuan untuk menyatukan ummah, maka semua dijemput untuk bersama,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Akmal berkata Umno dan PAS hanya berperanan sebagai penggerak utama himpunan berkenaan memandangkan kedua-duanya merupakan dua parti Melayu-Islam terbesar di negara ini.

“Hanya yang kita katakan, penggerak utama untuk himpunan ini adalah daripada Umno dan PAS selaku dua parti Melayu-Islam terbesar dalam tanah air kita.

“Himpunan Perpaduan Ummah ini adalah himpunan kita semua,” katanya.

Akmal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muhammad Rafique Rashid Ali yang berpendapat himpunan itu perlu dibuka kepada semua pihak yang mahu melihat perpaduan Melayu dan Islam dibina semula.

Rafique (gambar atas) berkata dalam landskap politik semasa, perbezaan keanggotaan parti serta persoalan mengenai siapa perlu memainkan peranan sebagai “abang besar” atau “adik kecil” dalam kerjasama politik tidak seharusnya menjadi penghalang.

Sebaliknya, katanya, parti politik Melayu perlu bersedia mengetepikan kepentingan masing-masing demi agenda yang dianggap lebih besar.

Cadangan mengadakan Himpunan Perpaduan Ummah mendapat sokongan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026, dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam.

Usul yang diluluskan PAU mengumumkan Umno dan PAS bersama-sama menganjurkan acara berkenaan menunjukkan kerjasama erat kedua-dua parti semakin rancak ketika kerajaan Madani pula dilihat seetengah pihak sedang 'retak menanti belah'.

(Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama Zahid Hamidi ketika era kerjasama Muafakat Nasional.)


Pada PAU 2026 juga, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi mandat kepada Akmal untuk menerajui inisiatif berkenaan, namun tarikh himpunan itu masih belum ditetapkan.

“Akmal, saya beri mandat kepada kamu. Bekerjasama dengan mereka (PAS) dengan baik. Anjurkan jelajah ke seluruh negeri sebelum diakhiri dengan himpunan besar-besaran di peringkat pusat.

“Saya menyeru seluruh jentera Pemuda di peringkat bahagian dan negeri, dengan sokongan bahagian, Wanita dan Puteri, memberikan sokongan penuh kepada himpunan di peringkat negeri serta mewujudkan tafahum siyasi (kesefahaman politik) menerusi gerakan bersama ini supaya ia dapat dianjurkan dan dikekalkan,” katanya.

Zahid berkata inisiatif itu perlu dimulakan di tiga negeri yang ditadbir PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah sebelum himpunan diadakan di peringkat nasional.

Selain matlamat memupuk perpaduan Melayu dan Islam, katanya, jelajah di peringkat negeri juga boleh menjadi ujian terhadap tahap kesefahaman antara Umno dan PAS sebelum kedua-dua parti mempertimbangkan kerjasama yang lebih luas.

“Semoga kita dapat bersama-sama membina kerjasama atau kesefahaman ini atas dasar saling menghormati, tanpa pengkhianatan dan dengan keikhlasan demi kepentingan ummah secara keseluruhannya,” katanya.

Cadangan itu turut selari dengan pendirian Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang sebelum ini menggesa parti itu terlebih dahulu menguji keikhlasan PAS dalam membentuk kesefahaman politik, khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.