PULASAN | Puas sudah PAS menabur budi, curiga juga dipandang orang
PULASAN | Pokok hujan sudah lama ada di kaki langit. Angin bukan lagi sepoi-sepoi bahasa yang boleh menyebabkan mata terpejam lena. Kilat dan guruh sudah berkali-kali hadir. Tetapi pada masa sama hujan belum turun.
Panas masih memanjang. Panas yang lain macam. Ia adalah panas yang menimbulkan kegelisahan kerana tidak ada kepastian – sama ada akan hujan atau kemarau akan memanjang.
Pada masa sama detik terus berjalan. Sesekali ia kelihatan seperti bom jangka.
Tetapi itulah. Kedua-dua pihak yang ada nampaknya bersungguh-sungguh mahu agar cuaca panas itu diteduhkan. Paling ideal ialah dengan turunnya ‘hujan’ yang ramah serta membasahkan tanah kebun masing-masing.
Cuma ia tidaklah semudah itu.
Di satu sisi, PAS kelihatan begitu gigih mahu agar kerjasama mereka dengan Umno termeterai untuk kesekian kalinya walaupun sudah berkali-kali juga gagal. Umno juga tidak kurang kelihatan ghairahnya.
Perlu difahami bahawa untuk usaha yang terbaru ini, Umno sebenarnya agak susah untuk menolak atau menutup sebelah mata. Antara lain ialah kerana mereka boleh dikatakan sudah termakan banyak budi PAS.
PAS pula memang tidak penat atau jera berbudi untuk Umno. Seolah-olah mereka mahu menebus kesilapan lalu kerana meninggalkan Umno demi Bersatu. Ia kira-kira seperti seorang gadis yang mengaku sudah tersilap dalam memilih antara intan dan permata.
Kaca? Tidak ada isu kaca di sini kerana kedua-duanya menggiurkan. Sekurang-kurangnya dulu. Kaca hanya muncul pada akhir-akhir ini.
Lama simpan rahsia AS
Menebus salah itulah barangkali yang menjadikan PAS rela berkorban bersungguh-sungguh. Bertanding bukan untuk menang di Johor, misalnya. Mengerah ahli mengundi Umno atau BN juga.
Di Negeri Sembilan, PAS kelihatan tidak lagi bertepuk sebelah tangan. Di Negeri Sembilan tangan PAS bersambut dan bertepuk sakan. Berbaloi sangatlah.
Ketika formula untuk menghadapi PRN Melaka belum menjelma dan masing-masing cuba mengelak untuk bercakap mengenainya secara jelas, PAS sekali lagi membuktikan bahawa mereka berbudi kepada Umno ini bukan baru.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/09/decae75e25c648a09247824ba408d8d7.jpg)
Kisah yang dinukilkan Abdul Hadi Awang semasa penghujung muktamar PAS di Kelantan itu bukanlah sebuah kisah biasa. Ia juga bukan penyendal atau penyedap cerita.
Mesej PAS yang paling penting ialah, mereka sepatutnya sudah boleh menyingkirkan Umno-BN jauh lebih awal berbanding apa yang dilakukan PH pada 2018. Bayangkan, berapa tahun Abdul Hadi dan dua tiga orang penting PAS menyimpan rahsia itu.
Sepanjang tempoh itu mungkin mereka tersenyum dan menggelengkan kepala setiap kali Umno melakukan kesilapan atau terlanjur. Atau semasa melihat Umno-BN gigih meminta rakyat mempercayai mereka semasa PRU.
Dalam bahasa lain, PAS seolah-olah mahu berkata: kalau kami mahu, kamu sudah lama tersungkur di pintu Putrajaya, tetapi kami sengaja membiarkan AS kempunan daripada menjatuhkan Najib Razak dan partinya.
Nah, kata PAS, sekarang adalah waktu untuk sama-sama duduk dengan tenang, berbincang dan bertolak ansur. Sekarang adalah masa untuk membalas budi dan saling berpakat.
Apa yang menghalang mereka agaknya?
Numbers!
Pada umumnya Umno dan PAS memang sedang mencari titik persamaan untuk membentu kerjasama secara tuntas. Kemudian datanglah realiti khususnya pada kerusi-kerusi yang ada di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Hati mana yang tidak pilu apabila melihat Umno hanya ada dua orang di dalam DUN di SG4 berbanding 116 dimiliki PAS-PN.
Dua daripada 128 kerusi itu kalau dalam bahasa matematik ialah 1.56 peratus. Atau untuk menyedapkan sedikit hati, dua daripada 116 kerusi ialah 1.72 peratus. Namun ia tidak boleh diuar-uarkan sangat kerana boleh mengundang ketawa terbahak-bahak.
Umno sedang di belakang
Sebuah parti yang pernah memerintah selapa 13 kali PRU mana boleh diketawakan begitu, kan?
Tetapi realitinya begitulah. Sekarang – bak kata Annuar Musa – PAS sudah mengambil alih tempat Umno dari segi saiz. Jumlah cawangan, misalnya, PAS berada di depan berbanding Umno.
Annuar juga agak nakal apabila meletakkan kedudukan Umno di belakang DAP dari segi penguasaan kerusi. Padahal dia boleh saja merangkumkan kedudukan Umno itu di tempat ketika iaitu selepas PN dan PH.
Tetapi Umno dipersenda dengan diletakkan di bawah DAP, padahal DAP itu sebahagian daripada PH saja.
Pedih atau tidak, itulah nasib Umno. Dalam keadaan begitu jugalah Umno mahu berunding dan berpakat dengan PAS-PN.
PAS sebenarnya berbahasa lunak semasa menghantar ajakan untuk menghadapi PRU bersama Umno walaupun mesej yang lebih keras ialah realiti bahawa dalam pelbagai sudut Umno berada di belakang.
Modal Umno kini hanyalah bahawa mereka paling lama memerintah dan paling berpengalaman menjadi kerajaan. Ia sangat terbukti malah sehingga kini kerana lihatlah betapa bercemperanya PH mengendalikan pentadbiran berbanding pada menteri atau pemimpin Umno.
Sudahlah tak ada pengalaman, nak belajar daripada Umno pun entah terfikir entah tidak.
Kembali kepada isu pokok: PAS dan Umno.
/file/attachments/orphans/AfnanHamimiTaibAzamuddend2_664822.jpg)
Sangat ironi sebenarnya apabila Umno meminta PAS membuktikan keikhlasan mereka dengan mengadakan PRN di mana-mana negeri SG4. Sudah tentu PAS akan ‘meloncat’ apatah lagi kalau nama Terengganu disebut.
Terengganu itu negeri Tuan Guru Tan Sri Presiden PAS kot!
Tapi kalau bukan Terengganu, negeri mana lagi, kan? Kelantan – negeri Serambi Mekah tempat PAS berkuasa sejak 1990. Kedah – negeri ditadbir oleh sang panglima terbilang. Perlis? Mungkinlah, tetapi kerusi DUN di situ terlalu kecil – lima belas.
Cuma di Perlis juga ada peluang untuk Shahidan Kassim menjadi menteri besar semula. PAS tidak perlukan menteri besar dari Bersatu, kan?
Kedua-duanya saling memerlukan
Tetapi duri paling menyakitkan ialah, di Perlis, Kedah, dan Terengganu, Umno tidak ada wakil dalam DUN waima seorang. Apa kuasa tawar-menawar yang Umno ada untuk PAS?
Pada masa sama jangan lupa bahawa PAS ada kuasa tawar menawar yang besar di Melaka.
Itu belum lagi pengaruh dan kuasa tawar-menawar PAS di Selangor yang lebih menggiurkan. Sudah tentu juga ada jutaan orang begitu mengidamkan seorang menteri besar dari PAS mentadbir negeri itu di Shah Alam buat pertama kali.
Umno bolehlah menduduki jawatan exco kanan saja nanti.
Cuma di sebalik semua persoalan ini, satu persoalan kekal relevan – siapa yang lebih memerlukan siapa.
Pada dasarnya kedua-dua parti saling memerlukan demi menghadapi musuh bersama. Tetapi sejarah selalu membuktikan apabila musuh itu diatasi, mereka pula akan bermusuhan.
Politik, begitulah.
Ketika PAS sudah menguasai SG4, Umno-BN mengidamkan negeri-negeri lain yang tidak kurang daya tarikannya. Kemuncak penguasaan tentulah Selangor. Di situlah nanti ujian lebih besar dan tajam akan muncul.
Jangan lupa, PAS tidak pernah mengetuai kerajaan Selangor, manakala Umno pula sudah 18 tahun kempunan jawatan menteri besar.
Pilihan yang ada ialah sama-sama berbudi. Tetapi ketika ini budi Umno adalah pihak yang lebih banyak termakan budi. Masakan PAS mahu menuai lalang, kan?
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selain gemar mencatat, dia juga suka menyakat.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/attachments/orphans/pas_547339.jpeg)
