Saya ingin merujuk kepada artikel bertajuk “Balabac is ours; don’t tell us how to defend it” tulisan Charlie V Manalo yang diterbitkan oleh The Manila Times pada 8 September 2026.

Hujah yang mengatakan Malaysia tidak berhak untuk menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan ketenteraan di kawasan Balabac adalah tidak berasas sama sekali.

Tiada siapa yang mengatakan bahawa Balabac bukan merupakan sebahagian daripada wilayah Filipina. Tiada siapa yang mengatakan bahawa Filipina tidak boleh mempertahankan wilayahnya sendiri. Persoalan sebenar ialah sama ada Malaysia mempunyai alasan yang munasabah untuk berasa bimbang apabila pangkalan ketenteraan diperkuat di kawasan yang berhadapan secara langsung dengan Sabah.

Jawapannya jelas sekali — ya, Malaysia harus bimbang.

Ya, benar kedudukan geografi itu penting. Namun begitu, sejarah juga penting, dan sejarah antara Filipina dengan Sabah tidak boleh dipadamkan begitu sahaja hanya kerana ia tidak menyenangkan.

Bagi Malaysia, kebimbangan ini bukannya omong kosong. Pada tahun 2013, penceroboh bersenjata yang dikaitkan dengan kesultanan Sulu telah memasuki Lahad Datu di Sabah dan menceroboh Tanduo. Serangan tersebut akhirnya mengakibatkan kematian anggota keselamatan dan orang awam Malaysia. Kerajaan Malaysia merekodkan 78 korban jiwa akibat pencerobohan bersenjata itu.

Lebih penting lagi, pencerobohan itu bukannya insiden yang tidak berkaitan sama sekali dan muncul tanpa sebarang punca. Ia berkait rapat dengan tuntutan lapuk terhadap Sabah.

Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah, tidak boleh sekadar melihat perkembangan ketenteraan berhampiran Sabah dan hanya berkata, "Itu wilayah Filipina, jadi itu bukan urusan kita."

Lebih merumitkan, Filipina terus mengekalkan tuntutannya ke atas Sabah. Pada Februari 2026, Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri Filipina secara terbuka mengulangi semula tuntutan tersebut. Pada tahun 2025, Filipina juga mengulangi tuntutannya ke atas Borneo Utara dalam satu kenyataan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dan ini bukan sekadar mengenai apa yang dikatakan oleh seorang senator atau seorang kolumnis akhbar di Filipina. Selama berpuluh-puluh tahun, individu, ahli politik, organisasi dan kumpulan politik di Filipina terus bercakap tentang Sabah sebagai wilayah milik Filipina.

Maka, apabila rakyat Malaysia mendengar bahawa kemudahan ketenteraan sedang diperkukuh di Balabac, berhampiran Sabah, adalah sangat munasabah untuk bertanya apakah maknanya ini kepada keselamatan Malaysia.

Ini bukannya "kedaulatan selektif". Ini adalah isu keselamatan negara.

Artikel tersebut juga bertanyakan apakah bahaya yang dibawa oleh Filipina kepada Malaysia.

Soalan itu sepatutnya dipulangkan kembali kepada penulisnya.

Mengapa Malaysia perlu mengabaikan implikasi strategik seperti pangkalan ketenteraan utama yang dibangunkan berhampiran negara ini sedangkan Filipina sendiri terus mengekalkan tuntutan ke atas Sabah?

Pada tahun 2013, Malaysia membayar harga yang amat mahal akibat daripada kawalan keselamatan di Sabah yang dibiarkan merosot. Filipina turut gagal menghalang kumpulan bersenjata daripada meninggalkan wilayah Filipina dan memasuki Sabah. Apa pun niat kerajaan Filipina ketika itu, hakikatnya tetap bahawa pasukan keselamatan dan orang awam Malaysia yang menanggung padahnya.

Pengalaman itu tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

Artikel Manila Times menyatakan bahawa Malaysia tidak sepatutnya menggunakan Filipina sebagai "alasan" untuk memperkukuh pertahanan Sabah.

Sejujurnya, Malaysia tidak memerlukan sebarang alasan untuk mempertahankan Sabah.

Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Mempertahankannya adalah tanggungjawab Malaysia.

Malaysia tidak berminat untuk menjadikan isu Balabac sebagai modal untuk berseteru dengan Filipina. Namun, Malaysia juga tidak boleh mengabaikan perkembangan yang boleh menjejaskan keselamatan Sabah, terutamanya memandangkan sejarah pencerobohan Lahad Datu dan hakikat bahawa tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak pernah lenyap sepenuhnya daripada wacana politik dan rasmi Filipina.

Jadi ya, Balabac adalah wilayah Filipina.

Pertahankanlah ia jika anda mahu.

Binalah kemudahan anda jika anda percaya ia perlu.

Tetapi jangan beritahu Malaysia bahawa ia tidak berhak untuk berasa bimbang apabila perkembangan tersebut berlaku berhampiran Sabah.

Dan jangan minta rakyat Sabah melupakan apa yang telah berlaku di Lahad Datu.

Mereka mempunyai pelbagai sebab untuk mengingatinya.


SENATOR MOHD HASBIE MUDA adalah anggota Dewan Negara merangkap Ketua Pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.