ULASAN | Solidariti hanya wajar untuk hal-hal kebaikan
ULASAN | Saya menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib Razak. Tetapi saya sangat bimbang dengan sikap Umno dan PAS yang meraikan keputusan ini sebagai satu kemenangan. Apakah mesej yang cuba disampaikan oleh Umno dan PAS?
Najib bukan dibebaskan daripada sabitan. Beliau masih seorang yang telah disabitkan oleh mahkamah dalam kes SRC melibatkan RM42 juta.
Islam sangat keras dalam soal harta yang diperoleh secara batil. Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.” (al-Baqarah: 188)
Sebab itu saya bertanya kepada Umno dan PAS: di mana maruah kita apabila sabitan kesalahan seperti ini tidak lagi menjadi perkara yang memalukan, tetapi disambut dengan kemenangan, kemenangan meraikan seorang yang sabit kesalahannya di mahkamah? Saya ingin memetik kata-kata Plato:
"In a state where corruption is normalized, the greatest crimes become the greatest honors, and the laws are used merely as tools to punish the innocent." — Plato, The Republic
(Dalam negara yang menormalisasikan kefasadan/rasuah, jenayah yang besar menjadi satu kebanggaan manakala undang-undang hanyalah alat untuk menghukum rakyat bawahan)
Lebih membimbangkan apabila Umno mula mengutip wang ahli untuk membantu pesalah membayar denda RM50 juta. Ini bukan kutipan membantu orang miskin atau orang yang ditimpa musibah. Ini kutipan untuk membantu seorang bekas perdana menteri yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Islam tidak mengajar solidariti pada kejahatan dan dosa, syarat bersolidariti hanyalah ke arah kebaikan dan ketaqwaan!
“Bertolong-tolonganlah dalam kebajikan dan takwa, dan jangan bertolong-tolongan dalam dosa dan permusuhan.” (al-Mā’idah: 2)
Umno dan PAS perlu membezakan antara menghormati keputusan Raja dengan meraikan seorang pemimpin yang sabitannya masih kekal. Bangsa Melayu yang bermaruah tidak mungkin bersama Umno dan PAS dalam sikap mereka terhadap seorang yang sabit jenayahnya kerana orang Melayu ada harga diri dan maruahnya.
Kalau politik Islam dan politik Melayu kehilangan keberanian moral untuk menyatakan sikap tegas kepada perasuah negara yang sabit kesalahannya, maka Umno dan PAS tidak mampu lagi melindungi maruah Melayu dan maruah umat.
Persoalannya ialah apa sudah jadi kepada kompas moral politik orang Melayu kita? Tiba masanya orang Melayu membuat keputusan penting perihal maruah mereka, jangan biarkan maruah Melayu diperwakilkan kepada mereka yang menormalisasikan jenayah, kelak generasi hadapan akan menganggap jenayah rasuah adalah satu keperwiraan bagi orang-orang Melayu.
MUJAHID YUSOF ialah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/d2a9046d690e7befa4402b1612404eb2.jpg)
