PAS membidas agensi kerajaan yang didakwa digunakan untuk menindas pihak lawan dipercayai susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua aktiviti Perikatan Nasional (PN), berkuat kuasa semalam.

Ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihak yang mempunyai kuasa ketika ini boleh melakukan apa sahaja, namun keadaan itu boleh berubah apabila berlaku pertukaran kerajaan.

“Kamu ada kuasa buatlah apa sahaja, segala agensi kerajaan kamu gunakan untuk menindas lawan.

“Tetapi ingatlah akan tiba masa kamu pula berada di bawah nanti,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) menerima notis tunjuk sebab dalam tempoh 30 hari bagi tujuan pembatalan pendaftaran gabungan itu.

RoS dalam kenyataannya berkata perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa 23 September lalu di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.

Menurut RoS, tindakan itu diambil susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan oleh sekutu gabungan PN, iaitu Bersatu.

“Notis tersebut bertujuan untuk meminta Perikatan Nasional memberikan penjelasan berkenaan aduan yang dilaporkan oleh Bersatu kepada RoS dan notis tersebut bukan keputusan pembatalan pendaftaran,” menurut kenyataan itu.

RoS turut menyeru semua pihak supaya merujuk maklumat rasmi yang dikeluarkan jabatan itu, serta mengelakkan spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.