Seorang pemimpin kanan PAS menegaskan, parti itu hanya akan disokong atau diundi oleh seseorang yang mencintai Islam kerana mereka tidak hanya bergerak dalam bidang politik malah dakwah.

Bercakap dalam ceramah di Pengkalan Chepa, Kelantan pada malam tadi, Mohd Amar Abdullah berkata PAS memilih untuk bergerak lebih daripada sebuah pertubuhan politik kerana perlukan kuasa bagi melaksanakan tuntutan agama dalam pentadbiran.

Justeru, tegasnya, ketika PAS kekal sebagai parti politik, ia tetap tidak mengetepikan tugas-tugas dakwah dan tarbiyah serta memberi kefahaman tentang Islam kepada rakyat.

“Kalau orang tidak faham Islam, dia tidak cinta kepada Islam, dia tidak akan sokong PAS. Itu asas paling mudah.

“Walaupun dia (seseorang Muslim) boleh jadi orang Islam, dia pergi Mekah banyak kali, tapi kerana dia tidak faham dan dia tidak cinta kepada Islam, maka dia tak undi PAS,” katanya dalam ceramah sempena pelancaran jentera pilihan raya peringkat kawasan parlimen Pengkalan Chepa itu.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS dan Adun Panchor itu turut menjelaskan bagaimana ada orang bukan Islam juga boleh memberikan sokongan kepada mereka.

Misalnya, tambah Mohd Amar, ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang tidak beriman kepada Allah dan Rasulullah namun tetap memberikan sokongan kerana sedar apa yang dibawa parti itu adalah perkara yang baik.

“Kalau kita tanya DHPP, kenapa dia sokong PAS (sedangkan) dia bukan Islam (tapi beragama) Hindu, Kristian, Buddha.

“Dia akan kata sebab dia tahu apa yang PAS bawa ini molek (baik).

“Dasar yang PAS bawa ini, Islam ini, dasar yang baik, dasar yang bagus bukan hanya untuk orang Islam, tapi untuk orang bukan Islam.

“Jadi kefahaman itu penting. Apabila orang faham Islam, dia akan mari (datang) dengan kita. Tapi kalau dia tidak faham Islam, dia tak mahu datang kepada kita,” katanya yang juga Speaker DUN Kelantan.

Kena banyak berdoa

Tambah Mohd Amar, faktor itu merupakan “rahsia” dan kelebihan yang ada pada PAS, justeru perlu dipelihara serta dipertahankan oleh semua agar ia tidak “lari”, khususnya penyokong dan pemimpin parti.

Tambahan pula, katanya lagi, cabaran yang perlu dihadapi oleh PAS semakin besar.

“Jadi kita pun kena jaga asas ini supaya tidak lari.

“Kita bina jemaah ini dengan kefahaman, dengan kesedaran supaya kita terus kekal kuat dan juga menjadi hebat pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, dia turut menyifatkan musuh PAS kini dalam ketakutan sehingga pelbagai tekanan diberikan terhadap parti itu.

Menyentuh tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) ke atas PN, Mohd Amar berkata, perkara itu adalah antara cabaran perlu dihadapi PAS sebagai ahli gabungan.

Dia yang pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan juga mendakwa, PH melihat PN sebagai pencabar utama berbanding BN yang juga mempunyai ahli begitu ramai.

Dalam keadaan begitu, tambahnya, PN ditekan dengan pelbagai cara.

“Kerana kekuatan imej, kekuatan politik dan imej ini duduk (berada) dengan PN hari ini, dengan pendekatan-pendekatan yang kita buat, contohnya di Johor, kemudian di Negeri Sembilan.

“Jadi sebab itulah orang akan mencari jalan tekan kita, bagaimana (cara) nak menyekat PN.

“Sebab itu sekarang ini kena banyak doa supaya surat RoS ini kita boleh jawab dengan baik dan tidak sampai ke peringkat PN ini dibatalkan pendaftaran,” katanya.