Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyambung proses merakam keterangan Datuk Seri Isa Samad selepas bekas Pengerusi FELDA itu pulih daripada masalah kesihatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata Isa, yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, ketika ini sedang dirawat di Hospital Serdang kerana menjalani pembedahan mata.

“Berhubung keterangan Isa, kita terpaksa tangguh dahulu kerana sepatutnya ia (keterangan) diambil semalam dan hari ini, tetapi memandangkan beliau tak sihat, maka kita tangguh. asehingga dapat makluman (status kesihatan) daripada Jabatan Penjara.

"Apabila sudah sihat maka kita akan sambung rakaman kenyataan itu. Banyak lagi nak dirakamkan daripada beliau," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM mengesahkan telah merakam keterangan veteran politik itu di Penjara Sungai Buloh pada 17 Sept lepas bagi membantu siasatan kes Ops Fella.

Abd Halim Aman berkata rakaman keterangan itu berkaitan isu pembelian dan pelaburan aset oleh FELDA serta FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) yang disyaki terdapat unsur rasuah dan penyelewengan.


- Bernama