PBB terbitkan senarai 214 syarikat terkait petempatan haram Israel
GLOBAL | Sekurang-kurangnya 214 syarikat dikenal pasti menyumbang kepada pembinaan petempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki Israel, menurut semakan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Sebahagian besar syarikat berkenaan berpangkalan di Israel, manakala lapan lagi – termasuk Airbnb – berpangkalan di AS.
Senarai yang diterbitkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) bagi pihak Majlis Hak Asasi Manusia itu turut merangkumi syarikat pelancongan AS seperti Expedia, syarikat simen Jerman Heidelberg Materials serta masing-masing dua syarikat dari China, Perancis dan United Kingdom.
Syarikat yang berpangkalan di Afrika Selatan, Luxembourg, Belanda, Mexico dan Sepanyol turut tersenarai.
Menurut keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), petempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki itu adalah tidak sah.
Kemas kini terbaru itu merupakan yang keempat sejak pangkalan data berkenaan mula diterbitkan pada 2020.
Setahun lalu, senarai itu hanya mengandungi 158 syarikat.
Setakat 2024 OHCHR menerima laporan membabitkan 596 syarikat dan masih meneliti 255 daripadanya.
Dalam setiap kes, pejabat itu menilai sama ada sesebuah syarikat terlibat secara langsung atau tidak dalam pembinaan petempatan, menjalankan aktiviti di wilayah yang diduduki bersama pihak lain atau menyumbang kepada pembinaan petempatan melalui produk atau perkhidmatannya.
Penyenaraian dalam pangkalan data itu tidak membawa sebarang akibat khusus.
Negara-negara yang menyokong penubuhan pangkalan data berkenaan pada 2016 bertujuan meningkatkan ketelusan, dengan harapan tekanan dapat dikenakan terhadap syarikat terbabit supaya menghentikan aktiviti berkenaan.
- Bernama/dpa

