Istilah New Age Movement (NAM) menjadi perhatian meluas selepas nama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, dikaitkan dengan fahaman berkenaan.

Dakwaan itu timbul semula selepas hantaran Facebook Marhamah bertarikh 20 Sept 2019 tersebar di media sosial.

Marhamah menafikan dakwaan bahawa dia menganut, mengamalkan atau menyebarkan ajaran NAM, selain menafikan kaitan dengan amalan perdukunan, sihir dan azimat.

Pada 27 Sept lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan.

Malaysiakini menawarkan maklumat terkait fahaman NAM dan bagaimana ia berfungsi serta mengapa ia menjadi isu melibatkan akidah

Apa itu New Age Movement atau NAM?

NAM ialah istilah merujuk kepada himpunan pelbagai kepercayaan, amalan kerohanian dan falsafah tidak berstruktur yang mula berkembang luas di Barat sekitar pertengahan abad ke-20.

Ia tidak mempunyai pengasas, kitab suci atau struktur kepimpinan pusat yang khusus. Ia berfungsi seperti "pasar raya kerohanian" (spiritual supermarket) kerana pengamalnya bebas memilih amalan yang disenangi.

Fahaman itu juga menekankan aspek transformasi diri, kesedaran minda, penyembuhan holistik dan hubungan antara emosi, jasad, serta alam semesta.

Elemen, amalan yang dikaitkan dengan NAM

  • Law of Attraction (Hukum Tarikan) dan penguasaan gelombang minda (frequency/vibration)

  • Pembangunan diri, pemulihan dalaman (inner healing), dan teknik potensi manusia

  • Penyembuhan alternatif, pengaliran tenaga (energy healing), dan penggunaan kristal

  • Amalan mistik/esoterik seperti astrologi, zodiak, dan astral projection (keluar roh)

  • Percampuran doktrin pelbagai tradisi agama (sinkretisme) seperti konsep 7 Cakra

Namun, seseorang yang melakukan salah satu amalan itu tidak semestinya bermaksud dia adalah pengamal NAM.

Hal itu kerana NAM mempunyai maksud yang luas dan merangkumi pelbagai kepercayaan serta amalan.

Kenapa NAM menjadi isu dalam Islam?

  • Doktrin Mendewa-dewakan siri/Panteisme (self-divinity)

Konsep New Age mengajar bahawa manusia mempunyai kuasa pencipta, "tenaga ilahi" (divine energy), atau boleh bersatu dengan Tuhan (I am the Universe/God is within me).

Percanggahan dengan Islam: Menyalahi tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah. Dalam Islam, Allah SWT ialah Pencipta (Khaliq) manakala manusia adalah makhluk. Doktrin manusia boleh mengawal atau "menarik" takdir menerusi daya fikiran merosakkan pegangan qada' dan qadar.

  • Penggunaan Law of Attraction (Hukum Tarikan) tanpa batasan

Konsep New Age: Mengajar bahawa pemikiran dan gelombang emosi manusia (vibration/frequency) memancarkan tenaga semesta (universal energy) yang menentukan rezeki dan nasib.

Percanggahan dengan Islam: Menggantikan konsep tawakal, doa, dan usaha mengikut syariat. Jika seseorang percaya bahawa fikiran atau gelombang tenaga mindanya sendiri yang mencipta realiti tanpa bergantung kepada iradah (kehendak) Allah, ia boleh membawa kepada syirik khafi (tersembunyi).

  • Penyusupan unsur mistik & esoterik (occultism)

Konsep New Age: Menggabungkan amalan tradisi timur seperti konsep 7 Cakra, Astral Projection (keluar roh/soul travel), reiki, serta penyelarasan gelombang tenaga minda (mind programming).

Percanggahan dengan Islam: Amalan seperti Astral Projection atau manipulasi tenaga khayal berisiko membuka pintu gangguan jin dan sihir. Menggunakan unsur keagamaan lain (seperti cakra dari tradisi Hindu/Buddha) yang disuntik dengan ayat al-Quran pula dikategorikan sebagai perbuatan sinkretisme agama (talfiq yang merosakkan akidah).

  • Penyelewengan adab terhadap al-Quran

Konsep New Age versi Islamik: Mengadaptasi teknik New Age dengan mengaitkannya dengan amalan Islam. Contohnya kaedah membuka al-Quran secara rawak untuk mencari jawapan hidup secara langsung (seperti teknik Garpu Tala atau Istikharah al-Quran secara melulu).

Percanggahan dengan Islam: Menjadikan al-Quran sebagai alat menilik nasib merendahkan disiplin tafsir dan tadabbur kitab suci itu serta membelakangkan sunnah solat Istikharah dan musyawarah.

  • Berselindung di sebalik seminar pembangunan diri

NAM jarang bergerak atas nama "agama baru" sebaliknya menyusup menerusi kursus motivasi, teknik perniagaan, inner healing, atau subkonsep sains. Hal itu menyebabkan orang awam sukar membezakan antara modul psikologi tulen dengan doktrin New Age.

Dalam kes Marhamah, Jakim berkata perkara itu dilihat dari sudut akidah, autoriti agama dan latar belakang NAM.

Pendedahan dari akaun Facebook

Individu A

Pada 16 Sept lalu, satu akaun Facebook Masyitah Ashari memuat naik hantaran yang mengatakan bahawa Marhamah selaku timbalan menteri banyak fokus kepada program memperkasakan wanita.

Pada 20 Sept 2019, satu tangkap layar akaun Facebook Marhamah menunjukkan dia menyeru pengikut media sosialnya untuk mengikuti perkongsian seseorang yang dianggap sebaga sumber rujukan ilmiahnya.

Individu terbabit dikatakan aktif menganut ajaran NAM serta menjual tangkal, mengamalkan ilmu cakra, aura, breathwork, meditasi dan banyak lagi.

Dia juga didakwa mempunyai sebuah pusat terapi kesihatan alternatif di Putrajaya.

Sebelum bergelar timbalan menteri, Marhamah pernah aktif mengajar menerusi sebuah syarikat.

Seterusnya, dia bergerak aktif melalui NGO Akademi Bayu Raudhah Sabah yang fokus kepada program kebajikan serta pendidikan. Majoriti hantaran di akaun Facebook NGO itu memaparkan perkongsian tulisannya.

Hantaran Facebook Akademi Bayu Raudhah pada 24 Januari 2020 mengaitkan konsep fizik kuantum dengan al-Quran khususnya kisah Pemuda Al-Kahfi selama 309 tahun dan dikaitkan dengan konsep masa yang boleh 'diundurkan’ dalam teori kuantum.

Individu B

Seorang lagi tokoh yang dikaitkan dengan NAM ialah seorang penceramah motivasi dan jurulatih pembangunan diri.

Namanya popular dalam arena pembangunan minda dan perniagaan melalui penganjuran siri seminar motivasi yang menawarkan empat teras utama iaitu sains dan kerohanian; penguasaan frekuensi; pembersihan dalaman; dan transformasi minda.

Pada 26 Sept 2019, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi tulisan berkalanya menegur siri seminar kendalian individu terbabit kerana dianggap menerapkan modul yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, pihak mufti itu turut mengkritik beberapa amalan lain termasuk amalan "memisahkan roh dari jasad" serta tafsiran yang salah mengenai konsep tawakal.

Individu C

Seorang penceramah motivasi dan penulisan buku bukan warganegara Malaysia dikenali sebagai orang yang membawa fahaman Hukum Tarikan yang dijadikan asas dalam teknik "magnet rezeki" dan "garpu tala".

Ia melibatkan amalan tertentu dalam NAM tetapi disuntik dengan elemen kerohanian Islam.

Orang ramai juga diajar dengan teori bahawa rezeki tertarik kepada jiwa yang tenang, bersih, dan bersyukur menerusi gelombang/tenaga positif.

Pada masa sama "pembersihan jiwa" dapat menghapuskan emosi negatif yang boleh menyukarkan datangnya rezeki.

Perbuatan membuka naskhah al-Quran secara rambang juga dianggap sebagai "jawapan" kepada sesuatu isu yang dialami seseorang.

Melalui kaedah itu, seseorang akan melihat ayat pertama pada halaman al-Quran yang dibuka dan menganggapnya sebagai jawapan langsung daripada Allah untuk individu terbabit.

Pandangan pihak berkuasa agama

Dalam kenyataan media rasmi bertarikh 27 Sept lalu, Jakim memaklumkan bahawa mereka mengambil perhatian serius isu dakwaan penyebaran unsur NAM yang dikaitkan dengan Marhamah.

Justeru Jakim bersama Mufti Wilayah Persekutuan dan panel pakar akidah jabatan tersebut menjalankan siasatan menyeluruh serta menganjurkan sesi pertemuan dengan Marhamah untuk meneliti perkara itu dari sudut akidah dan pemikiran NAM.

Menerusi hasil pertemuan itu, Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, memberitahu mereka mengemukakan beberapa tindakan dan ketetapan rasmi.

Jakim juga memberikan teguran, nasihat, serta panduan berhubung kandungan dan pengisian program terdahulu yang dikesan mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah.

Marhamah diminta memperbetul dan memurnikan sebarang pendekatan atau kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan akidah selain memastikan sebarang pengisian agama pada masa hadapan sentiasa berlandaskan disiplin ilmu Islam dan pandangan autoriti rasmi.

Pada masa sama Jakim menggesa masyarakat agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru berdasarkan bahan yang tular tanpa pengesahan atau difahami di luar konteks sebenar.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata pihaknya memandang serius sebarang penyelewengan akidah dan menyeru umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada fatwa-fatwa yang dikeluarkan.

"Akidah yang sahih adalah tunjang kekuatan umat. Memeliharanya adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Respon Marhamah

Senator itu menegaskan dia tetap berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan menolak sebarang unsur NAM.

Dia memberitahu, hasil pertemuan dengan pihak berkuasa agama mengesahkan tiada pertikaian akidah dan tiada keterlibatan dirinya dengan unsur itu.

"Saya mengambil perhatian serius terhadap persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat berkaitan dakwaan yang mengaitkan saya dengan NAM.

Dia turut menjelaskan tidak pernah ada hubungan peribadi atau berguru dengan individu yang dipertikaikan itu.

Dalam kenyataan sama Marhamah berkata, sebarang hantaran atau penggunaan istilah dibuat dalam konteks pembangunan diri sebelum ini dibuat tanpa menyedari ia terkait dengan unsur NAM.

Justeru dia memohon maaf atas segala kekeliruan yang timbul sambil menegaskan komitmennya untuk sentiasa merujuk pihak berkuasa agama dalam setiap pendekatan pentadbiran.