Projek Sama persoal Sarawak sekat masuk aktivis alam sekitar
Kumpulan itu menggesa kerajaan negeri segera menarik balik larangan berkenaan serta menetapkan garis panduan yang jelas dan telus terhadap warganegara Malaysia.
Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek Sama) mengkritik tindakan kerajaan Sarawak menghalang Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman, daripada memasuki negeri itu, dengan menyifatkan kuasa imigresen negeri tidak seharusnya digunakan untuk melindungi ahli politik daripada siasatan berkaitan alam sekitar.
Kumpulan itu menggesa kerajaan negeri segera menarik balik larangan berkenaan serta menetapkan garis panduan yang jelas dan telus berhubung pengenaan sekatan kemasukan terhadap warganegara Malaysia.
“Persoalan di sini bukan mengenai kuasa budi bicara imigresen kerajaan negeri Sarawak yang diperuntukkan undang-undang, tetapi sama ada kuasa itu dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus, munasabah dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Projek Sama menegaskan bahawa autonomi khas Sarawak dalam urusan imigresen di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Imigresen 1959/63 bertujuan melindungi kepentingan sosioekonomi serta mata pencarian rakyat Sarawak, bukannya menyekat kegiatan masyarakat sivil yang sah.
Kumpulan itu turut mempersoalkan penggunaan Seksyen 66 Akta Imigresen, dengan berhujah bahawa Seksyen 67 memberikan pengecualian kepada warganegara Malaysia yang memasuki Sarawak bagi menjalankan kegiatan politik yang sah.
Menurut Projek Sama, pihak berkuasa sepatutnya menjelaskan kepada Meenakshi sebab dia dilarang memasuki Sarawak.
Kumpulan itu turut bimbang sekatan berkenaan boleh menjejaskan imej Sarawak sebagai peneraju tenaga hijau, tindakan iklim serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Sebelum ini, penyelaras Mandiri, Wong Kueng Hui, mendakwa terdapat “pola berulang” larangan yang menghalang aktivis dari Semenanjung memasuki Sabah dan Sarawak.
Pada 29 September, jawatankuasa pusat SAM dan setiausaha kehormatnya membangkitkan kebimbangan selepas Sarawak menghalang Meenakshi daripada memasuki negeri itu sebaik tiba kira-kira jam 4.50 petang pada hari berkenaan.
Mageswari berkata kad pengenalan Meenakshi diambil daripadanya sebelum dia ditanya sama ada dia “terlibat dalam mana-mana kes”.
Selepas itu, Meenakshi dimaklumkan bahawa satu laporan telah dibuat terhadapnya pada 21 Mei tahun lalu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/02/8d0735265f35f51863fdb0b23ead9bce.jpg)
