Sektor perkhidmatan awam merekodkan penyertaan wanita yang semakin signifikan apabila membentuk 60.41 peratus daripada keseluruhan penjawat awam tetap setakat 25 Sept lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Ni Ching berkata bagi tempoh sama, data daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menunjukkan peningkatan penyertaan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi kepada 39.96 peratus daripada 39.32 peratus pada 2024.

“Angka ini tidak termasuk wanita dalam badan beruniform. Pada masa sama, di Kementerian Komunikasi angka ini (penyertaan wanita dalam perkhidmatan awam) amat membanggakan.

"Kita berharap (melalui) forum INSPIREHER ini, kita dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai penjawat awam wanita untuk terus melangkah maju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup forum INSPIREHER anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Putrajaya hari ini.

Katanya penjawat awam wanita membentuk 44 peratus daripada keseluruhan warga Kementerian Komunikasi manakala Jabatan Komunikasi Komuniti sahaja merekodkan sebanyak 57 peratus, IPPTAR pada 56 peratus serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mencatat 54 peratus.

“Bagi kumpulan pengurusan tertinggi kementerian, penglibatan wanita telah meningkat kepada 30 peratus setakat ini daripada 26 peratus pada tahunlepas,” katanya.

Beliau berkata beberapa agensi Kementerian Komunikasi turut merekodkan penyertaan wanita yang tinggi dalam kumpulan pengurusan tertinggi, termasuk Jabatan Penerangan (67 peratus), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (50 peratus) dan Bernama (33 peratus).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata program AI@NADI yang dianjurkan menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diperkenalkan di kesemua 1,099 NADI di seluruh negara sejak Jun lepas.

Katanya program itu menyasarkan 25,000 penyertaan sehingga akhir tahun ini dan sehingga 31 Ogos, sebanyak 20,044 penyertaan telah direkodkan.

“Setakat ini, 1,247 peserta sedang mengikuti tahap-tahap tersebut dan daripada itu, 856 peserta atau 69 peratus terdiri daripada wanita,” katanya.

Beliau berkata program berkenaan turut menyasarkan sekurang-kurangnya seorang jurutera arahan kecerdasan buatan (AI) dilahirkan di setiap NADI bagi memperkukuh penguasaan teknologi AI pada peringkat komuniti.

- Bernama