Lee Chean Chung tidak pernah hadir mesyuarat, kongres PKR - Anwar
Bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lee Chean Chung telah lama tidak menghadiri mesyuarat atau kongres parti itu, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Lee yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta juga tidak melibatkan diri dalam urusan parti sejak kira-kira setahun lepas.
“Jadi sesuailah. Kalau sudah tidak berminat, tidak ada masalah. Pergi dengan baik. Terima kasih atas sumbangan selama ini.
“Kira-kira setahun tidak pernah campur soal urusan parti, mesyuarat-mesyuarat parti tidak pernah hadir, jadi, kongres pun tidak hadir. Jadi tidak apalah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas dakwaan Lee berhubung isu peruntukan kawasan Petaling Jaya telah disekat, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa memastikan projek pembangunan seperti sekolah, surau, masjid, tokong serta jalan raya berjalan lancar.
Anwar, juga Menteri Kewangan berkata peletakan jawatan Lee juga tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan berkenaan.
“Beliau mahu memberikan pandangan, kita boleh terima. Tapi tidak semestinya Ahli Parlimen itu berhenti (meletakkan jawatan), projek juga berhenti. Tak betul,” katanya.
Ditanya sama ada PKR akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Lee, Anwar berkata perkara itu diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh dan Jawatankuasa Perundangan parti yang turut melibatkan Sivarasa Rasiah.
Hari ini, Lee mengumumkan peletakan jawatan tanpa syarat sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen kawasan itu telah diserahkan secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul semalam.
Pada 30 Sept lepas, Lee menerima keputusan bahawa keahliannya dalam PKR digantung selama tiga tahun.
- Bernama
/file/attachments/orphans/anwar122_472907.jpg)
